Berita

Kerjasama NGO, korporat diperlukan untuk memperluas bantuan ke seluruh negara

KUALA LUMPUR, 15 Julai -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap pada majlis apresiasi Kelas Pengajian Muallaf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Sesi 2019/2020 di Kompleks Darul Hidayah hari ini.

- Diterbit 4 Februari 2021 7:07 AM MYT

AGENSI di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengalu-alukan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk memperluas bantuan kepada setiap golongan memerlukan di seluruh pelosok negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata beliau berhasrat memperluas agihan bantuan itu kerana menyedari adanya golongan B40, M40, fakir miskin dan mereka yang terdesak memerlukannya.

“Kita akan tengok skala besar, kita akan adakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan atau pihak majlis agama negeri yang memungkinkan bantuan tersebut terfokus dan mengenai sasaran yang hendak kita sampaikan,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi bantuan banjir Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Kelantan, di sini hari ini.

Ditanya mengenai program bantuan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia dinaungi Ebit Lew ke Semporna, Sabah baru-baru ini yang terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan, Zulkifli mengalu-alukan pendakwah itu untuk bekerjasama dengan agensi agama persekutuan bagi memudahkan penyelarasan sumbangan.

Mengenai konvoi MAIWP ke Kelantan, Zulkifli berkata barangan bantuan yang dibawa termasuk makanan, periuk nasi, lampin pakai buang kanak-kanak, tuala, sejadah dan telekung dengan nilai keseluruhan RM1 juta.

Beliau berkata secara keseluruhannya, MAIWP memperuntukkan RM5 juta untuk bantuan banjir kepada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan setiap negeri menerima barangan keperluan bernilai RM1 juta dan RM250,000 untuk masjid-masjid yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli menasihatkan umat Islam di negara ini supaya merujuk kepada pandangan mufti jika berlaku kekhilafan atau keraguan berhubung hukum atau fahaman tertentu bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan ajaran sesat.

“Saya begitu berkeyakinan setiap orang ada kelemahannya tetapi apabila berlaku jawapan yang rasmi daripada pihak yang berautoriti, kita akan jadi selamat,” katanya ketika ditanya mengenai ajaran ‘Agama Melayu’ yang dikatakan dibawa oleh individu dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ atau nama sebenar Wan Noor Hayati Wan Alias. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas