Fokus

Jabatan Perhutanan saran guna tanah berkualiti

PEMILIHAN pokok dan tanah sesuai amat dititiberatkan Jabatan Perhutanan PEMILIHAN pokok dan tanah sesuai amat dititiberatkan Jabatan Perhutanan
- Diterbit 9 April 2021 5:14 AM MYT

MENGORAK langkah proaktif dalam membantu kempen penanaman sejuta pokok di Wilayah Persekutuan, pihak Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan memberi penekanan kepada  beberapa aspek penting antaranya jenis tanah, pokok yang sesuai ditanam dan sebagainya.

Menurut Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan, Mohd Hafiz Hamzah, pemilihan jenis tanah amat penting mengikut jenis tanaman agar ia dapat hidup dengan subur di kawasan yang
sepatutnya.

“Bagi pokok hutan atau tanaman landskap, tanah jenis topsoil adalah yang paling sesuai digunakan. Ini kerana ia merupakan antara tanah yang paling subur dan mendapat permintaan tinggi daripada kedai pokok bunga.

“Sementara pokok sayur-sayuran seperti cili pula perlu memanfaatkan tanah jenis organik untuk memastikan ia subur. Bagi tanaman di tepi sungai, campuran tanah organik dan topsoil amat diperlukan berbeza dengan tanaman lereng bukit yang biasanya menyatukan campuran pasir dan topsoil,” ujarnya.

Tambahnya kepada Wilayahku, di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur misalnya, terdapat jenis-jenis pokok yang sesuai ditanam bukan sahaja untuk tujuan teduhan dan kehijauan bahkan untuk pengindahan juga.

“Di Kuala Lumpur, pokok landskap teduhan yang bersesuaian adalah semarak api, dedap, batai, penaga lilin dan pokok spesies palma. Batai misalnya, merupakan sejenis pokok yang cepat
tumbuh dan merimbun.

“Berbeza dengan tanaman untuk nurseri, biasanya pokok hiasan luar seperti jasmin, cempaka hutan serta pokok hiasan dalaman seperti lelabah dan lidah jin menjadi pilihan,” ujarnya lagi.

Bagi merealisasikan program tersebut, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk program lima tahun di bawah RMKe-12 antaranya melalui program penanaman pokok di peringkat kementerian, jabatan persekutuan dan negeri, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan swasta.

“Kita turut mengadakan usahasama dengan Yayasan Hijau Malaysia untuk mempromosi program ini kepada syarikat-syarikat swasta dan komuniti untuk menyemarakkan lagi kempen ini. Selain itu, turut dilaksanakan program kesedaran masyarakat dan penanaman pokok melalui
tanggungjawab sosial korporat dengan syarikat swasta seperti Nestle dan Westport,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama hebahan kepada umum turut dilaksanakan melalui medium televisyen,
laman sesawang, akhbar, sosial media selain sesi taklimat dan pemakluman melalui surat kepada
kementerian dan jabatan, jabatan persekutuan serta negeri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas