Atlet Wilayah

Irfan Daniel utama harapan ibu bapa

- Diterbit 9 Februari 2024 3:43 PM MYT

BIARPUN sudah sebati dalam sukan petanque sejak kecil, namun atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Irfan Daniel Md Sham, 20, enggan mempertaruhkan masa hadapan demi sukan semata-mata.

Malah dia sedar, tanggungjawab yang dipikul sebagai pelajar perlu dilunaskan untuk memastikan keputusan yang diraih cemerlang dalam setiap bidang diceburi.

“Saya mesti bijak membahagikan masa antara pelajaran dan latihan kerana walaupun bergelar atlet sepenuh masa, pencapaian akademik juga perlu diberi perhatian yang serius.

“Ibu bapa meletakkan harapan tinggi terhadap kejayaan saya. Jadi untuk tidak menghampakan mereka saya berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam bidang sukan dan akademik,” ujarnya.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini berkata dia melihat sukan petanque mempunyai keistimewaan tersendiri selain memerlukan strategi dan teknik.

“Permainan ini memerlukan fokus yang tinggi agar bola asimetri yang dilerek berhenti hampir dengan bola jack bagi mendapatkan mata. Tanpa kekuatan mental, seseorang itu tidak mampu menjadi pemain terbaik.

“Ia juga mengajar kita cara menenangkan minda. Selalunya pemain akan cepat gelabah jika bola tidak menghampiri sasaran yang dituju. Seterusnya kita perlu tenang untuk memastikan percubaan seterusnya berjaya,” ujarnya.

Mengimpikan untuk beraksi pada Sukan Southeast Asian Games (SEA), atlet kelahiran Perak ini berkata dia mencuba sehabis baik untuk mencipta nama di dalam negara terlebih dahulu.

“Saya memasang impian untuk beraksi di Sukan SEA sebelum umur 23 tahun. Diharap apa yang diinginkan tercapai dalam tempoh tersebut,” ujarnya yang menjadikan atlet petanque Malaysia, Ayzek Hakimi Safingan sebagai idola.

Pelajar yang sedang menuntut dalam bidang Sains Komputer di Kolej Matrikulasi Selangor ini juga berhasrat untuk bergelar sebagai seorang jurutera perisian suatu hari nanti.

“Biarpun sudah bekerja nanti, saya tetap akan terus bersukan kerana ia sudah sebati dalam jiwa ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Pencapaian Irfan Daniel
2023 – Kejohanan Mix Double – Tempat keempat
2023 – Kejohanan Petanque Berpasukan Terbuka – Tempat ke-10
2022 – Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN – Tempat ketiga

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas