Berita

28 pemegang taruh sukan terlibat sesi meja bulat pembudayaan sukan warga emas

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Februari 2024 8:15 PM MYT

SEJUMLAH 28 pemegang taruh sukan terlibat dalam sesi meja bulat bagi menggalakkan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas, bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sesi tersebut diadakan untuk mendapatkan pandangan, idea serta maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk daripada agensi kerajaan, sektor swasta, badan sukan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“KBS sedang mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan sukan sekali gus memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental mereka (warga emas) terpelihara.

“Usaha KBS ini selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit serta diharap dapat kurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di sini.

Antara pemegang taruh sukan yang terlibat termasuk Persatuan Karom Malaysia (KAROMAS), Persekutuan Renang Malaysia (MS), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Katanya KBS dalam masa sama akan mula memberi fokus kepada dana untuk mewujudkan pelbagai program bagi membantu warga emas kekal aktif.

“Ini bukan sahaja usaha diketengahkan KBS bahkan melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Harapan saya kita bukan sahaja dapat kurangkan perbelanjaan untuk warga emas tapi mereka juga akan mempunyai gaya hidup sihat,” katanya.

Penganjuran sesi ini turut menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas