Fokus

Hentikan stigma, cuba dekati kami

- Diterbit 19 Oktober 2023 5:00 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM
Foto AMIN FARIJ

UMUM mengetahui, cabaran paling besar kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya OKU penglihatan di Malaysia saban hari adalah mendapat peluang saksama dalam masyarakat.

Terdapat pelbagai faktor yang menghalang golongan ini mendapat peluang dan kemudahan sama seperti masyarakat lain antaranya perlu berdepan dengan sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan dan kebolehan mereka.

Melalui pelaksanaan Program Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (Advokasi Kepada OKU Penglihatan) bagi Edisi ke-12 tahun 2023 yang diadakan baru-baru ini, ia dilihat mampu memupuk kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat awam akan kepekaan di samping mengambil berat terhadap keperluan asas OKU terutama kepada komuniti berkenaan.

Sejajar dengan objektif dan matlamat yang dinyatakan, rata-rata golongan berkenaan turut berpandangan bahawa program ini juga mampu mengubah stigma dan menghentikan diskriminasi berlarutan terhadap OKU penglihatan terutama di zaman era pemodenan ini.

Berkongsi pengalaman berdepan stigma masyarakat, Khairul Azwan Wahab, 36, yang merupakan salah seorang golongan OKU penglihatan berkata dia pernah ditolak tawaran bekerja kerana faktor ketidakupayaannya untuk melihat.

Azwan Wahab

“Saya pernah menghantar surat permohonan bekerja di salah sebuah syarikat tempatan dan apabila saya hubungi untuk dapatkan respons, mereka kata pihaknya tidak dapat mengambil saya bekerja atas faktor tidak mengambil OKU untuk bekerja di syarikat berkenaan.

“Saya beritahu yang saya mempunyai ijazah tetapi mereka tetap dengan keputusan tidak mengambil saya bekerja dengan alasan yang sama. Selain itu, ada juga beberapa syarikat, bila diberitahu OKU penglihatan, mereka terus tidak layan dan beri macam-macam alasan.

“Sejujurnya, perasaan ketika itu sangat sedih tetapi saya perlu kuat dan terus cekal berdepan dengan situasi tersebut dan saya harapkan stigma dan diskriminasi itu dapat dihentikan supaya ia tidak berlarutan,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Khairul yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir ini turut berkata meskipun bersedih, dia akhirnya mendapat pekerjaan dan memegang jawatan sebagai Pegawai Tadbir di jabatan kerajaan.

Tambah Khairul, dia berharap melalui pelaksanaan program ini dapat mengubah pandangan masyarakat terhadap keupayaan dan kebolehan golongan OKU penglihatan.

“Tongkat putih adalah simbol kepada OKU penglihatan. Ia bukan sekadar dijadikan sebagai alat untuk membantu berjalan malah ia memberi syarat kepada pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada kepada mereka.

“Sejujurnya, kami bukan nak minta belas kasihan tetapi kami ingin masyarakat memberi kami layanan sama seperti orang lain. Saya harap pelaksanaan program ini akan membawa manfaat kepada orang ramai untuk lebih mengenali dan memahami golongan seperti kami. Hentikan stigma, cuba dekati golongan seperti kami,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas