Selebriti

“Hapuskan stigma wanita lemah” — Izara Aishah

Izara Aishah
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:27 AM MYT

Oleh IBNATIE AZIZA
[email protected]

BAGAIKAN patung Barbie! Itulah yang boleh diungkap saat bertentang mata dengan pelakon jelita Izara Aishah.

Bukan mahu memuji lebih, tetapi itulah keistimewaan yang dimiliki oleh anak seni yang berasal dari Johor Bahru ini.

Dikurniakan kecantikan yang dicemburui ramai wanita, Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 27, bagaimanapun, menerima tempias kecaman masyarakat apabila dia dengan berani mengaku telah membuat rawatan mencucuk bibir agar menjadi lebih munggil.

“Isu sudah habis dan biarlah ia tamat di sini sahaja. Biar sahaja menjadi sejarah dan tidak perlu lagi dikenang.

“Walaupun ada sesetengah yang mengecam, biarkan saja. Lagipun, kenapa perlu ambil kisah tentang apa orang di luar sana cakap? Hentikan sahajalah.

“Itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan berita. Walau apa pun yang masyarakat kata, ia bukan sesuatu yang penting untuk diketengahkan sebagai berita,” ujar wanita berdarah kacukan Melayu-Pakistan ini.

Enggan melayan kontroversi mahupun gosip yang melanda, Izara yang memulakan kerjaya dalam bidang seni sejak 2011 bagaimanapun, dilihat mula memperlahankan aktiviti lakonan sejak mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Adib Khalid pada November 2017.

ANTARA koleksi Izara X Lilit yang mendapat sambutan di luar jangkaan.

Menjelaskan perkara tersebut, pelakon yang mula popular melalui drama Vanila Coklat ini memberitahu, dia mempunyai sebab tersendiri kenapa penglibatannya dalam kaca televisyen semakin berkurangan sejak bergelar isteri.

Ujarnya, dia bukan memilih untuk memperlahankan kerjaya sebaliknya masih lagi aktif berlakon.

“Kini, saya cuma memilih naskhah-naskhah drama yang ingin dibawa. Bukan apa, saya kurang bersetuju apabila kebanyakan drama yang ditawarkan kepada saya banyak berkisah tentang wanita yang dipukul atau didera.

“Jadi saya tidak sokong semua itu kerana pada pandangan saya, wanita sekarang bukan lagi seperti yang digambarkan dalam drama.

“Saya hanya pilih watak yang mengangkat wanita ke status yang lebih tinggi. Jadi, saya lebih cerewet tentang cerita yang ingin dibawa. Disebabkan itu, peminat kurang melihat saya dalam kaca televisyen.

“Alhamdulillah walaupun begitu, saya masih menerima tawaran lakonan. Contohnya yang terbaharu ialah filem Ombak Rindu 2 arahan Osman Ali untuk Iflix,” jelas bekas peserta Dewi Remaja 2009/10 ini.

AKSI Izara ketika memperagakan koleksi pakaiannya tersendiri.

Tidak mahu hanya berada di kedudukan selesa, Izara kini melangkah setapak lagi dalam dunia perniagaan.

Bekerjasama dengan rangkaian FashionValet dalam mengeluarkan koleksi pakaiannya sendiri, Izara ternyata terkejut dengan sambutan yang diterima.

Mengakui koleksi yang dikeluarkan adalah menggambarkan gaya dan identitinya, kolaborasi ini memenuhi impiannya untuk menghasilkan pakaian yang bercitarasa tinggi, sopan dan bergaya.

“Koleksi ini, sesuai untuk mereka sama ada yang bertudung ataupun tidak bertudung.

“Semua orang berpeluang untuk bergaya seperti superstar dalam koleksi Izara X Lilit ini,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas