Fokus

Uji ketangkasan peminat sukan lasak

AKSI salah seorang peserta Putrajaya Adrenaline Fest 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 17 Oktober 2019 9:08 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto ASIAN RIDERS ALLIANCE/MZR GLOBAL SDN BHD/ PEDAL MALAYA

SUKAN lasak bukanlah aktiviti baharu di negara ini malah ia juga tidak suram walaupun kurang pendedahan di media massa termasuk media sosial seperti di luar negara.

Turut mempunyai peminat tersendiri yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk kategori vateran dan cilik, sukan lasak ini juga mempunyai lokasi khas yang menempatkan keseluruhan acara iaitu di Kompleks Sukan Lasak, Taman Cabaran Putrajaya.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi mutu peminat-peminatnya, Pertandingan Putrajaya Challenge Park (PCP) Adrenaline Fest 2019 dianjurkan baru-baru ini.

Merupakan pertandingan tahunan sejak 2015, ia merupakan simbolik penutupan aktiviti sukan lasak di Taman Cabaran yang menyediakan acara seperti Transition Skatepark, MTB Outdoor Trails, Bike Park dan Indoor Wall Climbing.

MOHD. BAZLY

Penolong Pengurus Taman Cabaran, Seksyen Sukan dan Rekreasi Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Mohd. Bazly Mohammad Najib berkata, bagi PCP kali ini, 17 kategori dipertandingkan di samping penambahan grafiti lukisan jalanan (street art).

Menariknya, beberapa kategori yang dipertandingkan mendapat penyertaan ramai antaranya skateboarding dan wall climbing.

“Terdapat penambahan street art graffiti. Kita panggil 12 artis terkemuka dan 12 artis dari Switzerland untuk menghasilkannya selepas melihat dinding yang agak kusam.

LUKISAN Grafiti Street Art yang dilukis bagi menceriakan Taman Cabaran, Putrajaya.

“Antara acara yang dipertandingkan adalah Push Bike, BMX, Wall Climbing dan Skateboarding. Bagi Push Bike, terdapat empat pecahan kategori dan setiapnya melibatkan peserta cilik berumur 3 hingga 6 tahun,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

KELETAH peserta cilik yang menyertai acara Push Bike.

Menurut Mohd. Bazly, acara skate boarding mempertaruhkan dua kategori iaitu terbuka (berpengalaman dan wakil negara) serta bawah 15 tahun termasuk wanita.

Ujarnya, kategori bawah 15 tahun dan wanita mendapat penyertaan paling ramai dengan catatan 120 peserta sehingga menyebabkan acara memakan masa yang lama.

Bagi acara BMX kategori Flat Land, pemenang adalah wanita bawah 15 tahun iaitu Nur Irene Sofea dan Nia Nur Aidryana. Flat Land adalah kategori yang mengetengahkan aksi peserta ‘menari’ bersama basikal BMX.

AKSI salah seorang peserta wanita bagi acara BMX kategori Flat Land.

Dalam pada itu, Pengurus Acara Race Kampung 7.0, Mohd. Azzart Moideen berkata, untuk penganjuran acara Race Kampung, kelainan pada tahun ini adalah tiga disiplin iaitu road bike, cross country dan downhill digabungkan dalam satu pertandingan.

MOHD. AZZART

Ujarnya, acara tersebut melibatkan 10 orang dalam satu kumpulan yang mana ia dilakukan secara berganti-ganti bermula dengan road bike sejauh 25 kilometer mengelilingi Putrajaya.

Katanya, setelah sampai di Taman Cabaran, gelang tangan atau baton akan diserahkan kepada cross country yang mana peserta terlibat akan pecut sejauh satu kilometer dan menyerahkannya kepada peserta downhill untuk turun bukit.

“Acara ini dilakukan secara gantian mengikut terma yang ditetapkan. Kita juga menggunakan sistem masa elektronik yang lebih tepat dan sistematik.

“Pemenang dikira berdasarkan masa terpantas yang dijumlahkan daripada dua pusingan,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas