Fokus

Gaza Art Exhibit: Pamer kisah derita Palestin

AFDLIN (kiri) dan Rita ketika merasmikan Gaza Art Exhibit di lobi utama, Menara KPJ pada Selasa. Kredit foto: SYUQQREE DAIN / WILAYAHKU
- Diterbit 8 Disember 2023 4:20 AM MYT

MASYARAKAT hari ini membuka mata dan memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi terhadap kekejaman rejim Zionis Israel kepada penduduk di Gaza, Palestin.

Malah, semenjak tercetusnya perang pada awal Oktober lalu, dunia berkumpul membantu menyebar luaskan kebenaran tentang kekejaman Israel di samping bersatu menunjukkan tanda solidariti atas kejadian tersebut.

Sehubungan itu, Art Market Malaysia dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia menghimpunkan seramai enam pelukis tempatan mempamerkan 50 koleksi karya lukisan berkonsepkan penceritaan di Gaza menerusi Program Gaza Art Exhibition.

Ia berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Disember bertempat di Lobi Utama, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Penganjur dan Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta berkata pameran tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada umum tentang situasi peperangan yang sedang berlaku di bumi Gaza di samping mengutip dana hasil jualan lukisan.

“Ia menampilkan 50 koleksi lukisan yang akan dijual dengan harga di bawah RM10,000 dan hasil daripada jualan tersebut, 50 peratus akan disalurkan kepada akaun sumbangan Cinta Gaza Malaysia untuk membantu menyalurkan keperluan seperti makanan, pakaian dan sebagainya untuk saudara di Palestin.

“Pameran ini melibatkan kesemua pelukis tempatan dan ada di antara lukisan tersebut melibatkan hasil karya daripada pelukis-pelukis autisme,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki turut tersentuh dengan setiap lukisan yang dihasilkan oleh para pelukis dan merasai kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh penduduk Palestin.

AFDLIN SHAUKI

“Lukisan ini adalah ekspresi mereka terhadap peperangan yang sedang berlaku di Gaza. Saya sangat menghargai dan memberi penghormatan tinggi kepada usaha mereka untuk membantu mengumpul dana buat saudara kita di Palestin.

“Semasa melihat kesemua hasil karya lukisan itu, saya berasa sebak dan hampir menitiskan air mata kerana teringat ketika berada di sana selain dapat rasakan kesengsaraan yang tidak mungkin berakhir itu.

“Saudara Palestin pernah berkata kepada saya bahawa masyarakat Malaysia jauh tinggal beribu batu tetapi sentiasa datang membantu dan mereka amat menghargainya. Justeru itu, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para pelukis atas karya yang bermakna ini.

“Saya harap pameran ini mendapat kunjungan ramai dan dalam masa yang sama teruskan berdoa, apa sahaja sokongan dan bantuan yang boleh dibantu, kita bantu,” katanya selepas merasmikan Gaza Art Exhibit pada Selasa.

Terdahulu, Gaza Art Exhibit menampilkan koleksi karya seni lukisan oleh pelukis-pelukis terkemuka antaranya Ibnoo Jalil, Lan Itam, Mail Itam, Abey Zoul, Luq Zaidismail dan Din Harun.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan lukisan-lukisan penceritaan Gaza tersebut, boleh berkunjung ke pameran atau menghubungi Rita Hatta di talian 016-398 0938.

Lukisan penuh makna

Menampilkan lukisan potret gambaran seorang Srikandi Palestin yang sedang merenung jauh dalam keadaan penuh dendam membara, karya pelukis terkenal, Din Harun antara koleksi yang menarik perhatian.

DIN HARUN

Mendapat ilham daripada cerita yang dikongsikan oleh seorang petugas sukarelawan yang pernah ke Palestin, Din berkata dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan lukisan dengan meletakkan jiwanya di dalam gambar tersebut.

“Lukisan ini memfokuskan bahagian mata untuk melihatkan perasaan dendam, bagaimana hendak melawan Zionis dalam mendapatkan tanah Palestin selain terdapat kain Keffiyeh yang menyaluti wajah dan kepalanya.

“Kain Keffiyeh berwarna hitam putih itu disinonimkan sebagai bendera tidak rasmi Palestin dan pemakaian tersebut menunjukkan ketegasan dan kekuatan srikandi ini seakan-akan seorang pahlawan lelaki,” katanya.

Menurut Din Harun, pameran berkonsepkan lukisan Gaza ini merupakan penglibatan pertamanya dan dia berasa teruja apabila dapat mengekspresikan perasaan dan jiwa dalam lukisan tersebut.

ABEY ZOUL

“Dengan lukisan bercorak potret bergambar ini, masyarakat lebih mudah memahami keadaan dan perasaan sebenar yang dipendam dan ditanggung oleh rakyat Palestin. Saya harap karya-karya saya dan pelukis lain akan mendapat sambutan sekali gus membantu mencapai objektif penganjuran Gaza Art Exhibit,” ujarnya yang dapat menghasilkan lapan lukisan lain.

Sementara itu, pelukis Watercolourist painting, Abey Zoul pula mengetengahkan karya On an Olive Branch yang menceritakan tentang keadaan tiga orang kanak-kanak berdiri, berpegangan tangan di tepian tebing barat bersama gabungan kibaran bendera Palestin.

“Sebagai seorang pelukis, kita mampu menyampaikan mesej dengan sebuah kanvas dan sebatang berus, jadi peluang ini saya ambil untuk mempamerkan kesengsaraan dan perjuangan serta kebangkitan semangat masyarakat Palestin dalam mempertahankan tanah mereka.

“Melalui lukisan ini, saya harap ia dapat membantu menyampaikan mesej tentang kesengsaraan warga Palestin di samping meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya yang turut menampilkan sebuah lagi lukisan bermotifkan warna air bertajuk No Tanks. – WILAYAHKU

Antara koleksi pameran: (Kredit foto: SYUQQREE DAIN)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas