Biz

Teknologi retort kekal keunikan sambal Ogy

KAK OGY bersama dua produknya yang menjadi rebutan ramai
- Diterbit 8 Disember 2023 7:20 AM MYT

HANYA perlu rendam selama tiga minit dalam air panas, pembeli dapat menikmati kelazatan Sambal Kurau Masin Berlado dan Sambal Goreng Saadiah hasil air tangan pelakon dan pengarah versatil, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Kak Ogy.

Sajian sedia dimakan (meals ready to eat) yang sudah pun berada di pasaran sejak tahun 2014 tersebut mempertaruhkan resipi turun-temurun ibunya iaitu Allahyarham Seniwati Saadiah.

Berkongsi lanjut, menurut Ogy, rata-rata peminat sambalnya mengatakan hidangan tersebut memiliki satu rasa yang unik dan sukar untuk digambarkan kelazatannya.

“Antara komen yang saya terima, mereka susah nak letakkan satu definisi terhadap rasa Sambal Goreng Saadiah kerana rasanya yang begitu unik. Ada yang kata seperti sambal pengantin. Sejujurnya saya sendiri tidak pernah tahu rasanya bagaimana tetapi sebenarnya ia berbeza.

“Ada juga yang kata apabila makan sambal tersebut teringat air tangan ibu atau nenek di kampung. Ini menunjukkan betapa mereka di luar sana sangat merindui masakan di rumah terutama yang berada di luar negara,” ujarnya yang menerima tempahan di luar jangkaan pada musim perayaan dan Haji.

SAMBAL Goreng Saadiah yang dimasak di kilang

Bercerita mengenai idea perniagaannya, ia tercetus pada tahun 2014 ketika primadona ini berada dalam fasa ingin mencuba bidang baharu selain lakonan.

“Bagi saya memasak ini ibarat satu terapi. Saya mula dipaksa masuk ke dapur oleh mak sejak berusia 15 tahun dan daripada situ minat itu mula timbul lantas membuatkan saya mahu mencuba pelbagai resipi baharu.

“Resipi ini saya belajar daripada arwah ibu selama tiga bulan kerana nak membuatnya sangat renyah. Rasanya perlu tepat dan seimbang dari segi bahan-bahannya seperti air asam, santan, air belacan dan sebagainya.

“Dalam Sambal Goreng Saadiah misalnya mempunyai tiga jenis protein iaitu udang, daging dan paru. Kebiasaannya apabila sebut sahaja sambal pasti ramai yang membayangkan ikan bilis atau paru tapi kita tawarkan satu perkara yang berlainan. Saya juga beruntung kerana tidak mempunyai pesaing bagi sambal ini.

“Untuk Sambal Kurau Masin Berlado pula, ia juga merupakan resipi daripada arwah mak dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Seterusnya saya keluarkan pes kari di mana resipinya adalah daripada arwah ayah, Ahmad Daud,” jelas Ogy perniagaannya berasaskan resipi turun-temurun daripada arwah ayah, ibu dan neneknya.

Dalam masa yang sama, dia turut mengakui dunia perniagaan pasti ada cabarannya, namun baginya setiap apa yang berlaku merupakan proses pembelajaran yang berharga.

“Di awal perniagaan, nak memasak bumbunya sahaja memerlukan masa sehingga 12 jam dan ketika itu saya hanya masak di rumah sahaja tetapi untuk menjalankan sesuatu perniagaan ia perlu dilakukan di kawasan industri atau kilang. Jadi, saya sewa central kitchen selain turut turun padang untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Dahulu kita tidak tahu mengenai teknologi retort, jadi apa yang kami buat adalah menyimpan sambal di dalam peti sejuk beku. Sekiranya sambal yang sampai kepada pembeli basi kita akan gantikan dengan yang baru.

“Perkhidmatan retort yang ditawarkan oleh syarikat World Global Supremacy Sdn Bhd yang dikendalikan oleh Shahrulnizam Ahmad Shah menepati kehendak saya memandangkan ia tidak menjejaskan rasa sambal tersebut,” jelasnya teknologi retort banyak membantu usahawan memandangkan proses tersebut membuatkan makanan tahan selama dua tahun.

Menyentuh soal harga, bagi Ogy, harga yang ditawarkan bermula RM30 sehingga RM35 adalah berbaloi kerana mereka hanya menggunakan bahan premium selain bungkusan eksklusif di mana gambar arwah ibunya dilukis oleh seniman Imuda.

Sehingga ke hari ini, Ogy tetap berpegang kepada pesanan yang dititipkan oleh arwah ibunya agar tidak sesekali mencatu bahan dalam menyediakan sambal. Ini kerana rezeki Allah bukan hanya terletak pada keuntungan jualan sahaja tetapi ia amat luas.

“Sambal Kak Ogy mempunyai pelbagai bahan, modal yang diperlukan paling sedikit adalah RM1,000 dan ke atas namun kebahagiaan serta kepuasan yang dizahirkan oleh pembeli membuatkan saya gembira.

“Itu juga satu rezeki dan sedikit pun saya tidak rasa rugi. Besar harapan agar perniagaan sambal ini dapat menembusi pasaran luar negara dengan lebih meluas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas