Berita

Filem yang penuh emosi

ANTARA babak dalam filem Anwar: The Untold Story.
- Diterbit 12 Mei 2023 5:06 AM MYT

PENGARAH filem Anwar: The Untold Story, Viva Westi mengakui bukan suatu yang mudah untuk menjayakan filem tersebut kerana ia dibuat dengan berhati-hati selain rasa kecintaan yang luar biasa.

“Hampir dua tahun proses pembikinan filem ini. Hendak menceritakan apa yang ada dalam filem ini adalah paling sulit,” ujarnya ketika ditemui sejurus tayangan perdana filem tersebut di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang, pada Isnin.

Katanya lagi, filem tersebut dibuat kerana perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat penuh pancaroba selain di sebaliknya wujud seorang isteri yang penuh dengan kesetiaan dan rasa cinta yang mengiringi perjuangan suami.

“Kami membikin filem ini kerana perjuangan Anwar. Diharapkan ia mampu memberi inspirasi kepada semua dalam semua aspek yang dipertontonkan,” ujarnya yang merupakan pemenang Pengarah Filem Terbaik dalam Festival Filem Indonesia tahun 2008.

Terdahulu, filem yang menjalankan penggambaran di Indonesia dan membabitkan kos 10 juta itu adalah hasil usahasama penerbit eksekutif, Zunar dan penerbit Mohammed Nolizam (Majee).

Sementara itu, pelakon utama Farid Kamil berkata dia bersyukur berjaya merealisasikan watak pemimpin nombor satu negara itu.

Alhamdulillah, akhirnya filem yang saya nanti-nantikan akan ditayangkan. Saya dapat rasakan kepayahan, kesusahan apabila kami semua bersetuju untuk memulakan penggambaran filem.

“Ini kerana ia sebuah filem di mana pembikinannya pada ketika itu tidak mendapat ‘restu’. Saya terpaksa merahsiakan pemergian saya ke Indonesia, sehinggalah tamat penggambaran dan sehinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas