Agama

Fahami tujuan ke Mekah

- Diterbit 8 Mac 2024 10:15 AM MYT

IBADAH merupakan perkara yang tinggi nilainya. Dalam apa jua ibadah yang dilakukan, umat Islam perlu mengambil serius selain menjauhkan diri daripada perkara yang melalaikan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata salah satu kandungan yang penting dalam melakukan ibadah ialah perlunya khusyuk kerana melalui ibadah yang sempurna akan membentuk akhlak yang mulia.

“Jadi kalau kita asyik buat kandungan media sosial bagaimana untuk kita khusyuk? Tiada halangan untuk mencipta memori indah, namun lakukanlah dengan khusyuk terlebih dahulu kerana itukan lebih baik.

“Tujuan melakukan ibadah adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, jadi peliharalah ibadah itu sebaik mungkin,” kata beliau ketika dihubungi pada Selasa.

Ujar beliau, umat Islam perlu memahami tujuan sebenar pergi ke Mekah iaitu untuk menunaikan haji dan umrah disertai niat untuk satu pengabdian diri kepada Allah bukan melancong.

Tambah Mohamad Shukri, dapat dilihat pada masa kini, ramai yang didapati memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajarul Aswad di media sosial.

“Jika ia trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu. Adalah lebih baik ketika melakukan ibadah, fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk sentiasa berdoa.

Mencium Hajarul Aswad merupakan ibadah tetapi perbuatan itu adalah sunat. Kalau diasak sehingga membahayakan diri atau nyawa sekalipun, ia tidak dituntut dalam agama kita. Jadi sebenarnya, tak perlu untuk berasak-asak, berebut-rebut apatah lagi bagi kaum wanita,” ujarnya.

Kata beliau, adalah lebih baik untuk seseorang itu melakukan Istilam jika tidak mampu untuk mengucup Hajarul Aswad secara dekat, jika dilihat kesesakan untuk mengucup Hajarul Aswad.

“Kita seharusnya melakukan ibadah dengan kesantunannya, tertibnya bersama adab-adabnya, jika dah berebut-rebut serta terdedah kepada bahaya, itu adalah terlarang,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial baru-baru ini, selebriti media sosial dan usahawan terkenal, mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video sedang bergelut untuk mencium Hajarul Aswad ketika menunaikan ibadah umrah.

Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dengan rata-ratanya mempersoalkan kewajaran beliau berbuat demikian hingga kain ihram yang membaluti tubuhnya tertanggal dan menampakkan badan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas