Artikel

Mahkamah, Godfather dan anak menantu

MAHKAMAH akan membuat keputusan kes Daim dan Mahiaddin
- Diterbit 8 Mac 2024 10:40 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MAHKAMAH membuat keputusan-keputusan penting terhadap dua tokoh negara minggu lepas. Kes Tun Daim Zainuddin yang mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau dan kes Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang dirayu oleh SPRM agar penolakan pendakwaan ke atasnya untuk beberapa kes diketepikan.

Dalam kes Tun Daim, yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai ‘Godfather of Malaysia’ mahkamah menolak permohonan beliau.

Dalam tuntutannya, Tun Daim memohon dua perkara:

Pertama untuk mahkamah menyemak keabsahan penyiasatan SPRM yang membawa kepada pembekuan aset Tun Daim, isteri dan anak-anaknya, termasuk penyitaan Menara Ilham.

Yang kedua, membatalkan pendakwaan kes mereka berikutan kegagalan mengisytiharkan harta.

Mahkamah membuat keputusan berikut:

  1. Semakan atas penyiasatan ditolak kerana pasukan Tun Daim gagal tunjukkan adanya ‘mala fide’ atau ‘niat jahat’ SPRM. Ini berikutan penyiasatan adalah berdasarkan pendedahan media antarabangsa mengenai Pandora Paper.
  2. Tuduhan ‘pendakwaan terpilih’ kerana Tun Daim menjadi musuh politik Perdana Menteri Malaysia perlu dibangkitkan dalam kes di Mahkamah Jenayah bukan Mahkaman Sivil.
  3. Permohonan untuk membatalkan kes jenayah perlu dibangkit ketika perbicaraan kes tersebut, Mahkamah Sivil tiada bidang kuasa.

Apa yang Tun Daim gunakan?

Prinsip undang-undang:

Nullum tempus occurrit regi’ bermaksud ‘no time runs against the King

Peguam Daim berhujah, kes ini sudah 20 tahun, jadi SPRM tidak sepatutnya ambil tindakan kerana sudah lama.

Mahkamah membalas hujah ini dengan mengatakan tiada had masa untuk mendakwa bagi kes jenayah. Prinsip undang-undang had masa itu tidak terpakai. Walaupun kes sudah lama terjadi, masih lagi boleh diambil tindakan.

Makanya, kes jenayah tersebut perlu diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Bagi sahabat saya, aktivis Liyana Marzuki, ketika mengulas isu ini, kes pendakwaan yang dilakukan ke atas Tun Daim adalah kegagalan mengisytiharkan harta bagi harta yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ini merupakan kesalahan yang disarankan oleh PBB (United Nation) dan Bank Dunia untuk diambil oleh negara-negara yang terdedah kepada kleptokrasi dan jenayah sindiket antarabangsa. Dipanggil ‘illicit enrichment’ atau ‘unexplained wealth’.

Atau bahasa marhaennya: Kekayaan yang tidak boleh diperjelaskan.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, kita hargai jasa beliau kepada negara.

Namun, he owes it to the public, untuk terangkan bagaimana isteri dan anak-anak beliau boleh jadi kaya-raya dari usia muda. Ketika beliau jadi Menteri Kewangan juga, kata Liyana dalam ulasan beliau.

Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah,  dan ramai pemimpin lain pernah keluarkan dakwaan, Tun Daim telah menyelewengkan harta parti UMNO dan secara peribadi, mendapat keuntungan besar dari penswastaan.

Maka, kita harap melalui kes ini Tun Daim boleh cuci nama, dakwaan itu salah belaka, kata Liyana dalam ulasan beliau.

Namun, katanya, kalau enggan isytihar harta, takut orang pikir lain pula.

Seorang lagi sahabat saya Zulkifli Anwar Ul-haq atau lebih dikenali sebagai Zunar, menyenaraikan berita penting yang berlaku minggu lalu termasuk kes Mahiaddin dan Daim ini.

Bagi beliau, Presiden BERSATU, Mahiaddin itu tergila-gila untuk jadi Perdana Menteri walaupun secara tidak halal. Minggu lalu beliau gagal untuk merayu terhadap perintah membebaskannya daripada empat pertuduhan rasuah bernilai RM232. 5 juta.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah membatalkan pendakwaan yang dibuat di  Mahkamah Sesyen. Ekoran itu peguam Mahiaddin mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi dibantah oleh pendakwa atas alasan Mahkamah Rayuan tidak berhak menyemak keputusan Mahkamah Sesyen.

Alasan penolakan keinginan Mahiaddin itu kerana kes rasuah tersebut bermula di Mahkamah Sesyen dan masih kekal di mahkamah sama. Mahkamah Rayuan tidak ada hak untuk mendengar rayuan Mahiaddin.

Mahkamah menetapkan 3 April ini untuk membicarakan kes itu di Mahkamah Sesyen dan bagi memaklumkan perkembangan rayuan berkenaan yang ditolak.

Keputusan itu dibuat tiga hakim dan dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen. Ini bermakna perlepasan dan pembebasan empat kes rasuah terhadap Mahiaddin itu ditarik balik dan beliau kekal dengan pertuduhan jenayah itu.

Kini kedua-dua tokoh yang didakwa bersekongkol dalam ‘Langkah Dubai’ ini terpaksa berdepan dengan kes mahkamah. Mereka perlu mempertahankan diri atas pendakwaan yang dibuat ke atas beliau.

Zunar, bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, juga menyenaraikan kes menantu Mahiaddin dalam berita ringkas beliau.

“Mentua gagal menantu pula yang diburu SPRM masih belum menyerahkan diri untuk tindakan lanjut. Pihak SPRM masih memberi peluang kepada menantu bekas PM itu untuk memberi kerjasama,” tulis Zunar dalam ringkasan beritanya.

Sekiranya ia masih berdegil, kata Zunar, pihak SPRM tiada pilihan lain akan meminta Peguam Negara membuat tuduhan di mahkamah terhadap menantu bekas PM itu tanpa kehadirannya.

Menantu Mahiaddin, Muhammad Adlan bersama seorang lagi dikenal pasti meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei 2023.

Mentua gagal dalam rayuan manakala menantu masih terus diburu. Bini tentu dirundung bimbang, tulis Zunar.

Kini kes Daim dan Mahiaddin kembali ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan apakah nasib mereka.

Penulis adalah pemberita yang mencatatkan peristiwa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas