Doktor kontrak: Pasukan petugas khas diharap teliti pindaan Akta Pencen – KP Kesihatan
TELITI pindaan Akta Pencen bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada KWSP. Gambar: BERNAMA/ Gambar Hiasan

Doktor kontrak: Pasukan petugas khas diharap teliti pindaan Akta Pencen – KP Kesihatan

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap pasukan petugas khas yang diterajui Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti pindaan terhadap Akta Pencen bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberikan kepada 23,000 doktor hari ini.

“Saya percaya semua Ahli Parlimen akan menyokong perkara ini dengan sepenuh hati seperti yang dapat disaksikan hari ini. Sementara menunggu pindaan itu, semua petugas kontrak masih boleh meneruskan pengajian mereka di peringkat Sarjana. Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam tempoh dua tahun atau kurang, mereka akan diserap ke jawatan tetap di bawah skim KWSP.

“Ketika berjuang untuk mendapatkan persekitaran kerja dan masa depan yang lebih baik untuk petugas kontrak, kita mungkin menderita dan terluka.

“Saya lebih suka memilih penyelesaian baik melalui rundingan dengan pelbagai pihak berbanding mengadakan demonstrasi pada waktu-waktu yang sukar ini dan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini selepas ciapan beliau sebelum ini pada Julai 2019 disebut di Parlimen untuk menggesa penambahbaikan dalam Sistem Penjagaan Kesihatan dan menangani isu kebajikan doktor dan petugas kesihatan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ia adalah masalah yang tidak ada kesudahannya yang terpaksa dihadapi oleh doktor dan petugas kesihatan terbabit di negara ini sejak sekian lama. – BERNAMA

CATEGORIES