Artikel

Kuala Lumpur ‘dijajah’ bahasa Inggeris?

BAHASA Kebangsaan didahulukan...?
- Diterbit 17 Disember 2021 6:47 AM MYT

BENARKAH bandar raya Kuala Lumpur, ibu kota kebanggaan negara, sudah berubah menjadi seperti kota London kerana banyak nama jalan, bangunan, pusat beli belah dan projek perumahan menggunakan nama Inggeris?

Isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, yang juga bekas menteri kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dalam satu sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun Adi berharap pihak berkenaan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak terus melenting, sebaliknya menerima dengan positif apa yang dikatakan oleh Nazri. Anggap ia teguran membina.

Langkah terbaik ialah mengkaji dan meneliti sejauh mana situasi yang digambarkan oleh Nazri itu. Setelah itu bolehlah diambil tindakan susulan yang wajar untuk memperjelas atau memperbetul keadaan.

Jika isu mengutamakan bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa Melayu sampai ditimbulkan di parlimen, tentu ada asas kebenaran. Inilah yang perlu diteliti. Jika ternyata benar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dipinggir dengan mengutamakan bahasa Inggeris, ia tidak boleh dianggap sebagai isu kecil. Keadaan ini perlu dibetulkan.

Mungkin Nazri membuat kesimpulan berdasarkan pengamatan sendiri menyaksikan semakin banyak penggunaan nama-nama berbahasa Inggeris di bandar raya. Malah sebenarnya kenyataan beliau ini tidak boleh dinafikan bulat-bulat.

Ini kerana memang banyak bangunan, pusat beli belah atau kawasan perumahan menggunakan nama Inggeris sedangkan banyak nama dalam bahasa Melayu yang indah bunyinya boleh digunakan. Nazri memberi contoh kenapa Bangsar South dan tidak Bangsar Selatan?

Bangunan atau pusat beli belah serta kawasan kediaman yang dianggap hebat dan eksklusif biasanya cenderong menggunakan nama bahasa Inggeris. Pemaju lebih suka begitu. Mungkin juga ini strategi mempamerkan kehebatan tempat tertentu atau untuk menarik pembeli.

Tetapi rasanya jika dalam bahasa Melayu pun, masih tetap akan ada sambutan. Tiada bukti projek hebat yang menggunakan bahasa Melayu dipinggirkan atau tidak dipedulikan oleh bakal pembeli. Bukan sahaja kawasan yang dianggap hebat dan eksklusif menggunakan nama Inggeris.

Papan-papan iklan gergasi atau billboards di merata ibu kota juga banyak menggunakan bahasa Inggeris. Malah kelakarnya, banyak kedai-kedai kecil pun papan tanda namanya berbahasa Inggeris!

Pelbagai usaha mendaulatkan bahasa Melayu dilakukan. Misalnya bagi meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan tinggi dan sebagai memenuhi aspirasi tempatan, banyak nama jalan berbahasa Inggeris di Kuala Lumpur ditukar kepada nama Melayu. Contohnya Jalan Birch menjadi Jalan Maharajalela.

Selain itu, Circular Road menjadi Jalan Pekeliling dan kini Jalan Tun Razak; Jalan Hale di Kampung Baru menjadi Jalan Raja Abdullah; Jalan Campbell menjadi Jalan Dang Wangi; Batu Road kepada Jalan Tuanku Abdul Rahman dan lain-lain. Ini semua sekadar contoh.

Tentulah tidak seronok apabila sudah ada asas begini, Kuala Lumpur seperti undur ke belakang dengan mengutamakan kembali bahasa Inggeris. Pada pandangan Adi, sepatutnya apa yang sudah dilakukan itu diperhebat dan ditambah baik. Dalam isu ini, Adi berharap dan percaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan lebih peka. Ini kerana DBKL yang berkuasa meluluskan pelaksanaan pembinaan sesuatu projek, mengeluarkan perintah pembinaan (BO) dan meluluskan nama projek berkenaan.

Jika nama yang dipohon dalam bahasa Inggeris, DBKL bertanggungjawab memberi pandangan dan nasihat kepada pemaju agar memilih nama dalam bahasa Melayu.

Begitu juga dengan papan iklan besar di Kuala Lumpur, DBKL juga yang memberi lesen. Seharusnya DBKL perlu memastikan bahasa Melayu diberi keutamaan pada papan iklan berkenaan. Bahasa Inggeris jika hendak digunakan hendaklah jangan lebih menonjol.

Untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu, semua pihak mesti mempunyai komitmen tinggi meletakkan bahasa itu pada landasan sewajarnya. Tidak cukup sekadar bercakap atau berteriak tetapi dari segi pelaksanaan diabaikan.

Adi percaya Kementerian dan Wilayah dan DBKL amat positif dengan pandangan yang diberikan ramai jika untuk kebaikan bersama. Selama ini memang sikap mereka begitu prihatin.

Adi — Suka bahasa Hindi

GEMBIRALAH BERCUTI, SOP USAH DIABAI

CUTI sekolah hujung tahun sudah bermula seminggu lalu sehingga awal Januari 2020. Adi percaya ketika ini ramai ibu bapa, termasuk warga Wilayah Persekutuan, membawa anakanak melancong. Ibu bapa juga mengambil kesempatan berehat daripada kerja.

Tentu seronok bertukar angin setelah sekian lama terkurung di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Khabarnya destinasi pelancongan dipenuhi ramai. Hotel-hotel juga penuh ditempah.

Bagi Adi sendiri, ini adalah perkembangan positif setelah sekian lama sektor pelancongan menanggung kerugian akibat tidak beroperasi semasa PKP.

Malah pelancongan adalah antara sektor ekonomi paling teruk terjejas sehingga ada hotel, pusat pelancongan atau agensi pengembaraan (travel agents) gulung tikar kerana tidak mampu bertahan. Akibatnya ramai hilang kerja.

Jika ada yang masih mampu bertahan, ia adalah ibarat nyawanyawa ikan dengan harapan keadaan akan segera pulih. Kini sektor pelancongan sudah kembali beransur pulih dan mampu menarik nafas lega.

Kerana itu ramai yang hilang kerja dalam sektor ini khususnya, atau sektor ekonomi lain yang turut beransur pulih, ada harapan kembali mendapat kerja. Ini akan membantu sektor ekonomi terus berkembang dan kecairan di pasaran meningkat.

Adi tumpang gembira melihat orang ramai melancong. Itulah rahmat PKP ditamatkan. Bagi mereka dari luar Kuala Lumpur, mungkin menjadikan ibu negara sebagai destinasi percutian. Ada banyak tarikan di ibu negara, malah boleh terus ke Putrajaya. Banyak tarikan pelancong di pusat pentadbiran negara itu.

Sementara warga Wilayah Persekutuan pula boleh mengambil kesempatan melancong ke tempat-tempat peranginan menarik di utara, selatan atau timur tanah air.

Adi yang berpeluang rentas negeri melalui Lebuh Raya Utara Selatan hujung minggu lalu dapat menyaksikan kesesakan di lebuh raya, baik yang menghala ke utara atau selatan. Tempat Rawat dan Rehat (R&R) pula sendat dengan orang ramai.

Ini menandakan orang ramai menggunakan kesempatan cuti sekolah ini untuk bersantai. Di tempat lain juga keadaan mungkin sedemikian. Sudah terlalu lama ingin menghirup udara kampung atau udara segar di lokasi-lokasi pelancongan.

Namun Adi ingin berpesan, jangan lupa sementara rentas negeri sudah dibenarkan, operasi prosedur standard (SOP) masih dikekalkan dan mesti dipatuhi. Misalnya memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Patuhilah SOP demi kebaikan sendiri kerana COVID-19 masih berlegar di sekeliling. Pastikan percutian dilalui dengan lancar dan selamat. Keseronokan bercuti jangan sampai bertukar duka kerana COVID-19. Juga jaga diri dan berhati-hatilah di jalan raya atau di mana juga berada.

Adi—Sudah balik kampung – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas