Biz

Didik usahawan Melayu kekal bersaing

- Diterbit 12 Mac 2024 3:04 PM MYT

KEJATUHAN usahawan muda khususnya orang Melayu dalam mempertahan dan mengembangkan perniagaan menjadi titik tolak kepada wanita besi ini meninggalkan imbuhan lumayan secara bulanan yang diterimanya dari syarikat minyak terkemuka kebanggaan negara.

Kekurangan ilmu untuk mengembangkan perniagaan serta terperangkap pada skala sama bertahun-tahun menyebabkan Datuk Faridah Hanim Haron, nekad terjun ke dunia kejurulatihan perniagaan demi menyelamatkan dan menambah syarikat-syarikat milik bumiputera untuk terus bertahan seperti jenama antarabangsa yang lain.

Berkongsi kisahnya, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ibu Hanim menyifatkan tindakannya itu bermula pada tahun 2012 apabila memperolehi data kajian dari sebuah bank tempatan yang menyatakan syarikat milik bumiputera hanya mampu bertahan antara tiga hingga lima tahun sahaja.

“Masa itu ibu tahu sangatlah bahawa anak-anak muda kita banyak menceburi bidang keusahawanan dan ia amat baik kerana sebelum ini tiada penekanan terhadap bidang tersebut disebabkan kebanyakkannya tidak sanggup untuk mengambil risiko.

“Jadi ibu sangat sokong, dan sebagai individu yang mendapat banyak pendedahan serta pernah terlibat dengan banyak organisasi gergasi termasuklah perunding dari seluruh dunia, dan setelah mendapat laporan itu ibu sedih kerana ia melibatkan anak-anak Melayu dan mereka tiada ilmu pengetahuan untuk mengekalkan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, secara jelas usahawan bumiputera hanya mempunyai ilmu berkenaan jualan dan pemasaran sahaja dan ilmu untuk sesebuah perniagaan itu bertahan lama tiada.

“Bukan salah mereka kerana mereka tidak pernah duduk dalam dunia korporat, jadi pendedahan dan strategi untuk mengembangkan perniagaan itu tiada,” katanya yang juga pengasas Annems Leadership Solution Sdn Bhd.

Disebabkan perkara itu, Ibu Hanim terbuka hati untuk meletakkannya di sebuah syarikat gergasi biarpun telah berkhidmat selama 20 tahun dan pernah merancang untuk bekerja sehingga bersara.

“Setelah memikirkan masalah yang membelenggu usahawan bumiputera serta memikirkan perjuangan dan pengorbanan yang perlu dilakukan, ibu mengambil langkah untuk berhenti kerja dan mahu mengajar untuk mengembang dan mengekalkan perniagaan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman sebagai Pakar Pembangunan Organisasi dan Pengurusan Perubahan itu turut berasa kagum dengan semangat usahawan muda ini kerana berani untuk mengubah kehidupan.

“Mereka hendak keluar dari kitaran hidup yang mencabar, contohnya jika mereka datang dari keluarga petani, mereka wajar menjadi petani moden namun kebanyakkannya enggan berubah, jadi golongan usahawan baharu ini mempunyai semangat seperti itu, mahu ubah kehidupan.

“Semangat itu memang bagus dan mereka mempunyai kamahuan untuk berlumba, suka berniaga dan jarang ibu dengar zaman sebelum anak-anak muda hari ini mahu berniaga disebabkan hendakkan pekerjaan yang ada jaminan, jadi generasi kini ada keberanian.

Katanya, usahawan hari ini hanya mempunyai satu sahaja kekurangan iaitu apabila mempunyai untung sedikit, mereka akan ada kejutan budaya.

“Apabila berniaga, mungkin tahun pertama atau kedua sudah dapat rasai nilai jualan dan keuntungan yang mencecah jutaan ringgit, namun mereka tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang menyebabkan perniagaan tidak dapat bertahan,” ujarnya.

Disebabkan kelemahan itu, Ibu Hanim berkata beliau tampil dengan program Business Sustainability Solution (BSS) yang diadakan selama lima bulan, 16 hari dan 11 malam yang secara khususnya untuk memberikan kefahaman dan ilmu supaya usahawan ini dapat memberikan tumpuan untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan sehingga menjadisebuah konglomerat.

“Misalnya ibu akan ajar berapa peratus daripada hasil pendapatan yang perlu disimpan untuk mengembangkan perniagaan dan ilmu apa yang perlu dipelajari untuk langkah seterusnya,

“Selain itu usahawan turut diajar untuk menguruskan kewangan dan mereka juga diingatkan sekiranya sudah mencapai jualan yang tinggi agar tidak naikkan papan iklan yang tertera wajah usahawan dan
bukannya produk kerana itu semua adalah sangat peribadi berbanding objektif perniagaan, atau produk yang perlu dikedepankan,” katanya.

Ibu Hanim berkata daripada 100 peratus usahawan semasa, lebih 50 peratus dalam kalangan usahawan bumiputera mempunyai masalah yang dinyatakan.

“Apabila disebut untuk meningkatkan skala perniagaan ini saya simpulkan kepada formula 5M, ia sangat penting iaitu manpower, money, machine, material dan method.

“Kebanyakkannya usahawan tidak melengkapi kesemua 5M ini dan akhirnya kecundang disebabkan tidak berkemampuan untuk menyediakan modal pusingan,” katanya.

Ujar Ibu Hanim, pihaknya telah melatih sebanyak 400 syarikat daripada kumpulan pertama sehingga kini mencecah kumpulan ke 15.

“Dalam 400 syarikat ini, ibu rasa hanya 10 peratus sahaja yang secara sepenuhnya mengikut dan mengamalkan apa yang diajar dan perniagaan mereka kukuh sehingga kini.

“Mereka boleh lepaskan perniagaan dan memantau dari jauh kerana pasukan mereka cekap dan juga kaedah presentation untuk mengembangkan perniagaan mengggunakan carta dan fakta yang tepat malah keputusan yang dibuat juga berpandukan kepada fakta, jauh sekali menggunakan persepsi semata-mata,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas