Berita

DBKL tanggung tunggakan bil TNB peniaga

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bertemu wakil peniaga di Medan Selera D’Rejang,Setapak pada Rabu.
- Diterbit 15 September 2021 2:59 PM MYT

MENJELANG Hari Malaysia, 48 peniaga di Medan 48 premis di Medan Selera D’Rejang, Setapak Jaya menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk membayar tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tunggakan yang mencecah lebih RM55,000 dijelaskan oleh DBKL namun pemilik atau penyewa premis terlibat perlu hadir membuat rundingan penjadualan semula bayaran dan membuat pertukaran nama akaun bil.

“Akaun bil elektrik ini di atas nama DBKL dan DBKL memutuskan untuk membuat pertukaran nama bil itu kepada nama peniaga atau penyewa. Notis berkenaan perkara itu telah dikeluarkan kepada peniaga dan tempohnya telah pun tamat.

“Mengambil kira masalah dihadapi peniaga, DBKL bersetuju melanjutkan tempoh urusan itu sehingga 31 Disember ini. Selepas tempoh itu, penguatkuasaan akan menyusul, ” katanya ketika bertemu wakil peniaga di Medan Selera D’Rejang, dekat Setapak pada Rabu.

Tambahnya, DBKL juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh bayaran semula secara ansuran selama 12 bulan melibatkan peniaga yang mempunyai tunggakan RM10, 000 ke bawah manakala tunggakan RM10, 000 ke atas, tempoh pembayaran diberikan sehingga 24 bulan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas