Berita

Projek ‘River of Life’ bakal rancakkan lagi Kuala Lumpur

SHAHIDAN diiringi Ketua Setiausaha Kementrian Wilayah, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che ketika melawat projek River Of Life.
- Diterbit 15 September 2021 3:38 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan meningkatkan lagi projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan projek kolam biru bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pendekatan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan peralihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ia membolehkan warga kota menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan- kawasan utama tumpuan orang ramai termasuklah di kawasan kolam biru yang dihasilkan daripada Projek River of Life (RoL) sejak 2011 sebagai pusat pelancongan dan destinasi utama aktiviti riadah warga kota,” katanya selepas melakukan tinjauan di Projek RoL di sini hari ini.

Beliau berkata, projek tersebut telah disenaraikan sebagai “World’s Ten Best Waterfront District” dalam akhbar Independent UK pada tahun 2018 kini dalam fasa pembersihan sungai yang telah mencapai 92 peratus daripada keseluruhan sasaran yang ditetapkan.

“Ini termasuk usaha-usaha membersihkan semula sungai dengan menaiktaraf sistem pembentungan, menambahkan perangkap sampah di sepanjang sungai dan memperkenalkan Interceptor System bagi meningkatkan kualiti air yang selamat untuk kegunaan rekreasi orang ramai,” katanya.

Shahidan berkata, peluang untuk meningkatkan aktiviti perniagaan di kawasan sekitar projek RoL terutamanya di Presint 7 sebagai daya tarikan baharu untuk mevibrantkan kembali aktiviti ekonomi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ia juga telah dibuat termasuk penyediaan 11 ruang niaga yang telah siap dan 43 lagi ruang niaga yang masih dalam pembinaan di pesisir projek RoL di bawah program Usahawan Anak Muda Kota.

“Kualiti kehidupan, kesejahteraan dan kemajuan ekonomi kota adalah keutamaan kerajaan dalam menjadikan negara ini setanding dengan bandaraya utama dunia lain seperti Melbourne, Seoul dan Singapura yang mempunyai waterfront yang ikonik dan menarik,” katanya.

Tambahnya lagi, pemeliharaan dan pemuliharaan fasiliti serta kebersihan sungai dan kawasan sekitar projek RoL adalah tanggungjawab bersama.

“Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan kebersihan sungai supaya kita dapat mengekalkan keindahan kawasan RoL dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang mempunyai first class mentality dan menjayakan matlamat “My City My Home”,” katanya.

Program transformasi Sungai Gombak dan Sungai Klang sepanjang 110km kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni disasarkan siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Komponen pengindahan yang meliputi pembinaan jambatan pejalan kaki yang dibina menghubungkan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kolam Biru serta pembangunan semua Taman Tasik Titiwangsa telah siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2020. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas