Berita

DBKL sedia pelbagai aktiviti menarik

KAMARULZAMAN (lapan dari kiri) bersama warga kerja DBKL dan tetamu jemputan pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang peringkat WPKL di Lobi Menara 1 DBKL pada Isnin.
- Diterbit 11 Ogos 2023 4:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ­menyediakan pelbagai ­program dan aktiviti menarik ­bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata program ­tersebut khusus buat warga kota dan pelancong antarabangsa ­antaranya Kempen Kibar Jalur Gemilang (31 Julai), Kembara Merdeka Jalur Gemilang (4 dan 5 Ogos), KL Car Free Morning Edisi Khas Merdeka (6 Ogos) dan Karnival Bola Sepak Perumahan DBKL @ DBKL Home Cup 2023 edisi kedua yang akan berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September.

“Selain itu, DBKL turut menyediakan pertandingan ­mewarna pada 13 Ogos ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Program Derma Darah di ­lobi Menara DBKL 3, Jalan Raja Abdullah pada 16 Ogos dan Konsert Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada 30 Ogos nanti,” ­kata beliau.

Beliau berkata demikian ­ketika menyempurnakan pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di ­perkarangan Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut pada Isnin.

Pada majlis tersebut, ­sebanyak 32,500 bendera pelbagai saiz ­diserahkan kepada wakil ­agensi kerajaan, sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, badan bukan ­kerajaan (NGO), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta Persatuan Penjaja dan Peniaga.

“3,000 bendera Jalur Gemilang turut dipasang di jalan-jalan ­utama sekitar Kuala Lumpur seperti Jalan Sultan Ismail, Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan ­jalan-jalan lain.

“Pemasangan bendera ­gergasi, billboard dan gegantung ­juga telah diselaraskan di Menara DBKL 1, 2 dan 3 termasuk fasiliti DBKL yang lain ­seperti ­pusat-pusat ­komuniti, kompleks sukan, taman-taman dan sebagainya demi ­menyemarakkan sambutan ­berkenaan,” ujar ­beliau yang turut memasang Jalur Gemilang pada ­kenderaan ­milik DBKL dan 15 orang penyedia perkhidmatan e-hailing ­merangkumi pemandu teksi dan penghantar makanan.

Dalam pada itu, ­bagi ­merancakkan lagi sambutan ­tahun ini, beliau ­memberitahu ­menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang sebelum ini, DBKL turut ­mengedarkan ­surat ­pekeliling ­kepada 180 pemilik bangunan di ­pusat bandar ­untuk ­mengibarkan Jalur Gemilang dan menerangi bangunan ­dengan lampu hiasan di premis milik masing-masing.

“Saya berharap usaha ­kecil ini dapat menanam semangat ­kemerdekaan dan jati diri yang disemaikan dalam kalangan warga kota di samping bersama-sama ­memeriahkan dua sambutan hari yang penuh bermakna ini selaras tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” kata beliau.

DBKL juga turut mempamerkan mesej Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di paparan LED Menara DBKL 1, LED Dataran Merdeka, LED Swasta dan ­paparan Variable Message Signboards (VMS) sekitar Kuala Lumpur.

Orang ramai juga boleh membeli bendera Jalur Gemilang di Kaunter Bayaran Jabatan Kewangan DBKL dengan harga RM12 seunit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas