Berita

Operasi Sampah Bungkus: 264 kg sampah warga asing dikumpul

PENDUDUK Pangsapuri Putra Harmoni bergotong-royong membersihkan sampah yang ditinggalkan di hadapan kawasan lif dan laluan tangga.
- Diterbit 11 Ogos 2023 6:00 AM MYT

SATU Operasi Sampah Bungkus bertempat di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, Putrajaya dilaksanakan oleh pihak SWCorp Wilayah Persekutuan dalam usaha membanteras masalah pembuangan sampah.

SWCorp Wilayah Persekutuan berkata operasi ini dilaksanakan atas permintaan Pihak Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Putra Harmoni (MC) bagi membanteras isu pembuangan sampah di hadapan kawasan lif dan laluan tangga di tiga blok bangunan.

“Masalah menjadi bertambah runcing kerana sampah-sampah tersebut dibuang oleh warga asing yang tinggal di sini.

“Selain daripada membasmi sampah yang dibuang merata-rata tempat oleh penduduk, operasi ini juga akan membantu mengubah sikap semua penduduk dalam menggunakan tiga buah rumah sampah yang telah dibaik pulih oleh pihak MC dengan kerjasama SWCorp dan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB),” katanya menerusi satu kenyataan media.

SWCorp Wilayah Persekutuan memaklumkan operasi tersebut dilaksanakan di tiga buah blok dan melibatkan keseluruhannya enam tingkat yang mana tingkat terlibat adalah Tingkat 9, blok A; Tingkat 5, 8 dan 9, Blok C serta Tingkat 6 dan 7, Blok D.

“Bilangan premis terlibat pula adalah sebanyak 198 buah dan hampir 90 peratus premis di tingkat ini didiami warga asing.

“Seramai 122 orang penduduk telah diarahkan keluar dari premis masing-masing dan mengangkut sampah yang ditinggalkan mereka ke rumah sampah serta membuat pembersihan di laluan premis setiap tingkat,” ujarnya selain MC, SWCorp turut mendapat bantuan dan kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Putrajaya (PPj), Unit Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan AFSB.

Tambahnya, pekerja AFSB turut sama membantu di setiap tingkat sehingga ke rumah sampah dan sebanyak 264 kilogram (kg) telah berjaya dibawa turun semasa operasi ini.

“Untuk makluman, pihak MC telah diminta untuk tidak membersihkan dan mengangkut keluar sampah selama tiga hari sebelum operasi di tingkat-tingkat tersebut,” ujarnya jet air juga dibawa ke setiap tingkat terlibat untuk membersihkan laluan hadapan premis selain peralatan lain seperti penyapu, penyodok sampah, plastik sampah dan peluntur.

Di samping itu, katanya ini merupakan operasi pertama yang seumpamanya dilaksanakan di kediaman bertingkat di Putrajaya.

“Semua MC dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi kediaman bertingkat di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah diingatkan untuk mematuhi Peraturan Pengasingan Sisa Pepejal yang berkuat kuasa sejak 2015, di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Pihak MC dan JMB juga perlu memastikan semua penduduk melaksanakan pengasingan sisa pepejal dan infrastruktur bagi mengutip dan melupus sisa domestik serta kitar semula dibuat dengan sempurna,” jelasnya jentera operasi ini adalah melibatkan seramai 160 orang iaitu 43 orang penguat kuasa daripada SWCorp, lapan orang (PDRM), 18 orang (PPj), 39 orang (MC) dan 42 orang (AFSB).

Dalam pada itu, pihak SWCorp Wilayah Persekutuan turut memberitahu bahawa mereka akan mula mengenakan denda ke atas MC, JMB serta penduduk yang tidak mengikut peraturan ini bermula Januari 2024.

“Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di talian 03-2245 9292 / [email protected] untuk semakan kediaman bertingkat anda sebelum denda mula dilaksanakan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas