Berita

DBKL keluarkan 2.4 juta notis kesalahan trafik

NOR HISHAM memeriksa Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa DBKL di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. Gambar FAIRUZ MUSTAFFA (DBKL)
- Diterbit 5 Mac 2020 6:29 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah mengeluarkan lebih 2.4 juta notis kesalahan trafik sepanjang Januari hingga Disember 2019.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata, notis itu melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM9.9 juta bagi pelbagai jenis kesalahan trafik.

“Kompaun tersebut dikeluarkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sekitar bandar raya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff; Pengarah Eksekutif Pengurusan, Datuk Mustafa Mohd. Noor; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Mohd. Sahak Surip dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Azmi Abdul Hamid.

Nor Hisham berkata, pihak DBKL turut mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kelancaran lalu lintas melalui penggunaan sistem pengurusan lalu lintas yang cekap.

“DBKL menggunakan sistem lampu isyarat berkomputer untuk mengawal aliran trafik dan menyediakan tempat letak kereta dan motosikal yang teratur.

“DBKL turut menyediakan tempat punggah memunggah yang sesuai dengan ketetapan masa yang dibenarkan,” katanya.

Terdahulu seramai 166 pelatih penguatkuasaan dari skuad 21, 22/2018 dan skuad 24/2019 dianugerahkan sijil tamat latihan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas