Berita

Solat tahajud, taubat resipi kejayaan Nur Najiha

NUR NAJIHA menunjukkan keputusan SPM 2019 bersama kedua-dua ibu bapanya.
- Diterbit 5 Mac 2020 6:13 AM MYT

KUALA LUMPUR –  “Saya bangun solat tahajud dan solat taubat setiap malam.” Itu resipi kejayaan cemerlang  Nur Najiha Zaharuddin, 18, yang memperoleh 9 A+ dalam SPM 2019.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur itu berkata, dia percaya aspek keagamaan dan kerohanian amat penting untuk mencapai kejayaan.

“Apabila kita belajar bersungguh-sungguh kemudian kita perlu berserah dan yakin dengan ketentuan Allah. Jangan sesekali melupakan-Nya. Jadikan solat tahajud dan taubat sebagai rutin harian bukan sahaja semata-mata kerana peperiksaan.

“Selain itu, restu ibu bapa juga amat penting, mereka adalah tulang belakang saya selain daripada rakan-rakan,” katanya kepada Wilayahku selepas menerima keputusan peperiksaan tersebut di sini hari ini.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata, dia juga beruntung kerana tinggal di asrama sekali gus memudahkannya untuk mengulang kaji pelajaran.

“Jika ada pelajaran yang tidak begitu faham, saya akan bertanya kepada guru dan berbincang dengan rakan. Tidak ada istilah kedekut ilmu dalam hidup saya,” kata Nur Najiha.

Ditanya tentang rancangannya selepas ini, Nur Najiha berkata, dia ingin menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan.

“Saya suka mata pelajaran akaun dan bercita-cita untuk menjadi akauntan profesional,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas