Berita

DBKL keluar lebih 1,500 notis kompaun kesalahan rokok, vape sehingga Februari

KHAIRUL Anuar (tiga kanan) bersama Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam DBKL, Dr Nor Halizam Ismail (lima kiri) menyempurnakan gimik pada Majlis KLBAR X MySchoolBus@Wilayah di Dataran DBKL, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 17 Mac 2023 3:33 AM MYT

LEBIH 1,500 notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kesalahan merokok dan menghisap vape di tempat awam sekitar ibu negara sejak Januari hingga Februari tahun ini.

Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Khairul Anuar Md Juri berkata notis kompaun tersebut dikeluarkan berikutan kesalahan merokok dan menghisap vape di kawasan larangan seperti taman awam, restoran, bangunan kerajaan dan laluan pejalan kaki berbumbung.

“Individu termasuk remaja bawah umur yang didapati melakukan kesalahan berkenaan akan didakwa di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 serta turut dikenakan bayaran kompaun sebanyak RM250 serta-merta.

“Kompaun itu dikenakan oleh anggota penguat kuasa DBKL dan pegawai kesihatan yang bertugas. Sekiranya tidak dibayar, mereka akan dikenakan tindakan susulan termasuk tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) X MySchoolBus@Wilayah di Dataran DBKL pada Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk KLBAR, P Chandrakant dan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail.

Menurut Khairul Anuar, sehingga kini DBKL masih menguatkuasakan pemantauan di tempat larangan merokok dan menghisap vape termasuklah di kawasan hotel serta lain-lain kawasan.

“Pihak DBKL akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan kami juga mengharapkan kesedaran dan kepekaan daripada seluruh masyarakat untuk tidak merokok di kawasan larangan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Khairul berkata pihaknya juga dalam perancangan mencari pempengaruh media sosial untuk dijadikan ikon bebas rokok.

“Kita akan usahakan mencari pempengaruh terkenal di platform digital seperti TikTok, Instagram dan sebagainya untuk dijadikan ‘role model’ kepada masyarakat.

“Ia merupakan alternatif tambahan dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai tentang bahaya merokok,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas