Berita

Pelekat larangan merokok KLBAR di 200 bas sekolah

||KHAIRUL ANUAR
- Diterbit 17 Mac 2023 3:45 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Kempen Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) dengan menampal pelekat larangan merokok dan logo KLBAR di bas-bas sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

KHAIRUL ANUAR

Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Khairul Anuar Md Juri berkata kempen ini akan memberi impak kepada kira-kira 11,000 pelajar meliputi 8,000 murid dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL serta 3,000 murid dari Perumahan Swasta Kos Rendah DBKL.

“Ia juga akan melibatkan 108 pengendali bas sekolah dengan lebih 200 bas yang akan ditampal dengan pelekat berikut.

“Usaha ini merupakan lanjutan daripada promosi dan kesedaran dalam memerangi amalan merokok setelah pelancaran Kempen KLBAR dalam Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringgan (LRT) melalui video promosi dalam tren yang telah dilancarkan pada 1 Disember 2021 dan dipasang sehingga kini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen KLBAR X MySchoolBus@ Wilayah di Dataran DBKL pada Isnin.

Menurut Khairul Anuar, KLBAR juga adalah salah satu projek di bawah tema KL Sejahtera Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) hasil usaha bersepadu rakan kongsi LA21KL dan DBKL.

“Antara rakan kongsi yang terlibat Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, MyWatch, Malaysian Association of Environmental Health (MAEH), Persatuan Gerantologi Malaysia, MRT Corporation dan beberapa lagi rakan kongsi yang lain.

“Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) terutamanya SDG 3 bagi meningkatkan dan mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, masalah paru-paru dan pelbagai penyakit kronik yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberi cadangan dan kerjasama baik dengan DBKL bagi memastikan kempen ini dapat dilaksanakan sebaiknya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas