Berita

DBKL akan adakan sesi libat urus bagi pindaan Draf PSKL2040

- Diterbit 11 April 2023 2:15 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus bersama orang awam dan pihak berkepentingan bagi pindaan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Sulaiman Mohamed berkata ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penangguhan proses pewartaan Draf PSKL2040 sehingga 31 Mei ini.

Beliau berkata sesi libat urus bertujuan memaklumkan pindaaan yang telah dibuat terhadap draf tersebut berdasarkan pandangan awam yang diterima, pengesyoran Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA), penyelarasan dasar semasa kerajaan dan pandangan Ahli Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan (LPPWP).

“Tarikh, masa dan tempat bagi sesi libat urus ini akan dimaklumkan kepada orang awam dan pihak berkepentingan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, orang awam boleh mendapatkan Laporan Akhir Pindaan Draf PSKL2040 melalui laman sesawang rasmi DBKL melalui laman web di https://www.dbkl.gov.my mulai (Khamis) ini (13 April).

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataan memaklumkan pewartaan PSKL2040 akan ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi bagi memberi penjelasan, di samping mendapatkan maklum balas yang sewajarnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas