Berita

Covid-19 rekod kadar terendah 16 kes baharu

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 12 Mei 2020 10:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Hanya 16 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikannya jumlah kes harian terendah dicatatkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan daripadanya membabitkan warga asing.

Beliau berkata, pertambahan 16 kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negara ini mencecah 6,742 kes.

“Daripada 16 kes baharu itu tiga kes import manakala 13 kes penularan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat pukul 12 tengah hari tadi.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 109 kes,” katanya.

Beliau berkata, seramai 16 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital adalah 110 menjadikan jumlah kumulatif pulih sebanyak 5,223 kes iaitu 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ke,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,410 kes.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas