Berita

Khidmat gunting rambut masih tidak dibenar operasi

- Diterbit 12 Mei 2020 10:00 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan masih tidak memberikan kebenaran bagi perkhidmatan gunting rambut untuk beroperasi termasuk di rumah pelanggan ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ini berikutan perkhidmatan itu masih tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mengenai ada orang kenamaan (VIP) memanggil tukang gunting rambut ke rumah, ini berita baharu. Saya pun tidak tahu kerana sememang perkhidmatan itu tidak dibenarkan.

“Setakat ini, gunting rambut sama ada di kedai atau perkhidmatan di rumah ia termasuk dalam senarai terlarang maka tidak dibenarkan perkhidmatan itu di rumah, pejabat atau pun pelanggan ke kedai,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini. –

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai hanya perlu meletakkan maklumat nama dan nombor telefon sebagai rekod pengesanan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke premis perniagaan.

Ismail Sabri berkata, langkah itu adalah seiring dengan maklumat yang digunakan dalam aplikasi Gerak Malaysia sebelum ini.

“Kerajaan meletakkan syarat rekod itu pengesanan bukannya mahu menyusahkan sesiapa.

“Saya faham ramai yang bimbang meletakkan alamat rumah dan nombor kad pengenalan atas tujuan keselamatan diri sendiri.

“Jadi, dua syarat iaitu letak nama dan nombor telefon sudah mencukupi untuk dihubungi,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas