Fokus

SJR bantu penurunan kes

KEKERAPAN SJR menjadikan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati.
- Diterbit 4 April 2024 1:47 PM MYT

Oleh DIANA AMIR & HAZIRAH HALIM

MALAYSIA mencatatkan purata 18 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari dengan 12 daripadanya melibatkan motosikal sepanjang tahun lalu.

Ia bersamaan hampir setiap dua jam berlakunya kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, di Kuala Lumpur sahaja sebanyak 236 kes kemalangan maut dicatatkan pada tahun lalu sehingga 17 Mac 2024.

“Kuala Lumpur berjaya mencatatkan penurunan kes kemalangan maut keseluruhan di mana hanya 193 kes direkodkan pada tahun 2023 berbanding 218 kes pada tahun 2022.

“Manakala untuk jumlah kematian yang dicatatkan pula adalah sebanyak 206 kematian berbanding 222 pada tahun 2022,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata trend kemalangan motosikal di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sebanyak 1,498 kemalangan membabitkan penunggang motosikal sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 36 kemalangan maut telah direkodkan pada tahun lalu di mana terdapat peningkatan sebanyak lapan kes berbanding tahun 2022.

“Peningkatan jumlah tersebut juga dilihat berpunca daripada pertambahan jumlah kenderaan keluar masuk ke ibu negara yang sekali gus menjadi faktor kemalangan.

“Setiap pagi sebanyak lebih kurang satu juta kenderaan direkodkan memasuki ibu kota. Justeru itu, kita sentiasa meletakkan anggota dan pegawai bagi membantu melancarkan trafik di waktu puncak.

“Selain itu, sikap penunggang juga menjadi antara faktor berlakunya kemalangan di mana kebiasaan di Malaysia mereka akan ‘cilok’ di kiri dan kanan membuatkan pemandu kenderaan tidak sedar kehadiran mereka secara tiba-tiba,” ujarnya.

Tambah beliau, antara lokasi hot spot kemalangan maut membabitkan motosikal adalah di Jalan Kuching dan Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban. Dalam masa sama, bilangan trafik juga banyak sekali gus meningkatkan risiko kemalangan berlaku.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata memandangkan Kuala Lumpur berjaya mencatatkan penurunan bagi kes kemalangan maut pada tahun lalu, pihaknya akan mengguna pakai strategi yang sama sekali lagi.

“Penurunan itu berlaku kerana kekerapan sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan dengan mensasarkan penunggang motosikal. Setiap malam minggu juga operasi akan dijalankan di beberapa kawasan terpilih berdasarkan trend dan statistik kemalangan maut.

“Menerusi kekerapan SJR inilah mendatangkan sedikit kegerunan buat para penunggang motosikal sekali gus membuatkan mereka untuk lebih berhati-hati dan kes samseng jalanan juga berkurangan,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kumpulan umur antara 16 hingga 30 tahun merekodkan statistik tertinggi yang maut dalam kemalangan motosikal.

“Kemalangan berlaku disebabkan beberapa faktor sama ada kecuaian sendiri atau pihak lain. Cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen kesedaran namun ia memerlukan kerjasama yang baik daripada pihak-pihak bertanggungjawab.

“Bagi pihak JSPT, kita boleh melaksanakan penguatkuasaan namun untuk peringkat awal perlu ada pihak lain memainkan peranan untuk mendidik masyarakat Malaysia,” ujarnya.

DATA REAL TIME

JSPT Bukit Aman akan menyiarkan maklumat statistik jumlah kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian, sepertimana hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.

Statistik kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari itu diadakan sebagai langkah baru bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai.

“Sebenarnya kes kematian yang direkodkan akibat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding COVID-19 tetapi masih ramai yang tidak tahu tentang itu.

“Diharapkan dengan data yang dikongsikan pada setiap hari ini mampu sedikit sebanyak memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya betapa seriusnya perkara ini,” jelasnya.

Berkongsi persediaan menghadapi musim perayaan, Sarifudin berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalankan Ops Selamat yang akan dilancarkan oleh JSPT Bukit Aman.

“Kita akan meletakkan anggota serta pegawai bagi melancarkan trafik semasa hari pulang ke kampung dan juga selepas cuti perayaan nanti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas