Berita

BSKU Siasat kemalangan helikopter di Subang

- Diterbit 24 Mac 2021 6:13 AM MYT

BIRO Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan menjalankan siasatan berhubung kemalangan sebuah helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang hari ini mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berlakunya kemalangan membabitkan Airbus Helicopter AS350 B3 di lapangan terbang itu pada 9.25 pagi.

Menurut MOT, helikopter dengan satu juruterbang dan empat penumpang itu, dikendalikan oleh Leopad Aviation Sdn Bhd dan telah berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pada 8.30 pagi untuk penerbangan persendirian ke Subang melalui Maran, Temerloh, Karak dan Batu Caves.

Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan manakala tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil, menurut MOT.  – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas