Selebriti

Beri ruang individu berbakat

- Diterbit 5 Februari 2024 4:12 PM MYT

KOMPOSER lagu Dawai, Hendro Djasmoro mengakui bakat nyanyian dan personaliti adalah syarat utama yang perlu diberi perhatian untuk bergelar selebriti berbanding rupa paras.

“Cantik atau tampan itu bonus tetapi sebagai seorang komposer, saya mencari bakat. Kita mempunyai ramai penyanyi yang baik tetapi tidak tahu ke mana ingin mengembangkan bakat ditambah pula dengan stigma tertentu, ruang dan peluang mereka kabur.

“Seharusnya penerbit dan stesen televisyen memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada individu yang betul-betul layak dan berpotensi besar untuk mewarnai arena seni tempatan.

“Selain itu, disiplin dan personaliti diri juga memainkan peranan penting. Ada sahaja antara mereka yang boleh menyanyi dan mempunyai rupa tetapi tidak menerapkan disiplin dalam diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berkata tidak dinafikan pakej yang menarik juga penting dalam mempengaruhi masyarakat namun untuk menidakkan bakat seseorang individu dek kerana tidak mempunyai fizikal yang menarik harus ditepis sekerasnya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Fadhillah Intan sebagai penyanyi lagu Dawai, Hendro berkata ia disebabkan bakat luar biasa yang dimiliki penyanyi tersebut.

“Saya memberanikan diri untuk menghubunginya di Instagram dan pada akhirnya dia bersetuju untuk menyanyikan single pertama saya itu.

“Fadhillah mempunyai kualiti suara yang baik serta vokal yang bagus selain aura tersendiri,” ujarnya tidak menyangka lagu pertama yang dihasilkannya berjaya mencetuskan fenomena dengan mencatat 39 juta tontonan di YouTube.

Memilih genre pop untuk sentuhan lagu solo pertama tersebut, dia berharap lagu yang dihasilkan dekat dengan jiwa setiap pendengar kerana ia menceritakan mengenai diri setiap individu yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidup.

“Dalam masa yang sama, ia juga dihasilkan mengikut situasi dan gambaran kepada jalan cerita filem Air Mata Di Ujung Sajadah. Perkataan dawai itu membawa maksud tali gitar dan kalau diperhatikan melalui lirik lagunya, ia menggambarkan situasi bermain muzik yang pastinya pemain ingin menghasilkan bunyi yang indah.

“Namun, ada hari yang mana petikan itu akan sumbang dan itu diibaratkan kehidupan yang tidak semuanya lancar. Setiap orang mempunyai masalah tersendiri, lagu ini secara tidak langsung mengajar kita untuk terus kuat dalam menempuh apa sahaja cabaran,” ujarnya.

Menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan maestro muzik Malaysia, Hendro menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua dan tidak akan melepaskan kesempatan jika diberi peluang merakamkan lagu di negara ini.

“Sudah pasti saya memasang impian tentang perkara itu. Ia bakal menjadi pengalaman indah tetapi banyak aspek harus dipertimbangkan disebabkan ia membabitkan dua negara.

“Pemilihan karya sama ada bersesuaian atau tidak juga adalah penting. Ini kerana setiap penyanyi memiliki kemampuan tersendiri dan genre muzik berbeza,” ujarnya yang bakal mengeluarkan beberapa runut bunyi dalam masa terdekat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas