Selebriti

SKSPS kurang beban anak seni

- Diterbit 5 Februari 2024 4:15 PM MYT

PENYANYI dan pelakon yang semakin meningkat naik, Afieq Shazwan, 27, berharap lebih ramai selebriti terutamanya yang masih muda mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Sebagai pelakon saya sedar kepentingan caruman di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini kerana kami selalu bergerak ke mana-mana sahaja mengikut lokasi yang telah ditetapkan oleh produksi dan tentunya malang tidak berbau.

“Ketika sesi penggambaran luar pula pastinya pelakon dan kru produksi berisiko atau terdedah kepada sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” katanya mengakui lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Memahami tanggungjawab serta cabaran sebagai pelakon, Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros berharap rakan-rakan artis tidak mengabaikan kepentingan caruman PERKESO.

Inisiatif SKSPS amat bersesuaian kepada anak seni termasuk kru dan pekerja belakang tabir untuk kerana pencarum boleh menikmati lapan faedah yang disediakan merangkumi perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan sebagainya.

“Berdasarkan pengalaman sebagai pelakon, apa yang saya tahu, ada kru kemalangan di lokasi ketika pergi atau balik kerja namun sebahagian daripada mereka tidak mempunyai insurans kerana bekerja secara bebas dan tiada pendapatan tetap.

“Dalam masa yang sama, ada di antara mereka juga tidak mampu membeli insurans kerana faktor kewangan dan mempunyai komitmen lain yang patut diutamakan.

“Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu memperuntukkan sedikit kewangan sebagai perlindungan diri agar kehidupan lebih terjamin,” luahnya lega apabila bayaran bulanan insurans tersebut amat berpatutan.

Menyentuh soal lakonan, Afieq muncul dalam drama bersiri Rampas Cintaku 2 yang kini bersiaran di platform Iqiyi bersama Fasha Sandha, Erra Fazira, Keith Foo dan Puteri Balqish. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas