Berita

Bayar parkir bahu jalan guna aplikasi e-Wallet

- Diterbit 30 September 2020 9:40 AM MYT

PEMBAYARAN caj petak tempat letak kereta bahu jalan di Kuala Lumpur akan menggunakan aplikasi mudah alih dan e-Wallet bermula esok (1 Oktober).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, kaedah baharu itu boleh digunakan menerusi EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash.

“Susulan pelaksanaan baharu itu, pembayaran menggunakan mesin akan berakhir hari ini (30 September),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perancangan dan integrasi dengan Boost dan Touch n Go e-Wallet juga sedang dilaksanakan bagi memberikan pilihan yang lebih luas kepada pengguna.

Ujarnya, pas harian serta pas bulanan untuk parkir masih belum beroperasi dan kemudahan itu akan diaktifkan setelah proses naiktaraf sistem dilaksanakan.

Bagi petak khas pula, ujarnya, permohonan masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj masuk kekal seperti sedia ada.

Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai digalakkan menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu bagi membuat bayaran tempat letak kereta bahu jalan di sekitar ibu negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas