Fokus

Adat jadi amalan rentas kemodenan

- Diterbit 19 Januari 2024 3:30 PM MYT

MALAYSIA kaya dengan budaya dan adat resam yang berbeza antara satu sama lain tidak ketinggalan juga masyarakat Orang Asli yang menghuni di seluruh negara kecuali Perlis dan Pulau Pinang.

Golongan ini merupakan satu entiti masyarakat Malaysia yang boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Melayu Proto, Senoi dan Negrito serta terdapat enam suku Orang Asli bagi setiap kumpulan utama berkenaan.

Salah satu suku yang paling ramai di negara ini adalah kaum Semai yang merupakan kumpulan penduduk separuh kekal yang terdapat di tengah Semenanjung Malaysia di Asia Tenggara dan sehingga Jun 2022 terdapat seramai 61,336 orang suku Semai yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Dipercayai bahawa suku Semai adalah salah satu legasi penduduk kuno asal, yang tersebar luas di Asia Tenggara.

Menurut Pengasas Bersama Jungle School Gombak Malaysia, Mejar Kalam Pie TUDM (Bersara), suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat.

“Mereka hidup bermasyarakat di mana kebiasaannya sebuah kampung terdapat di antara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang penghulu atau batin yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

“Suatu ketika dahulu, suku Semai hidup secara nomad, berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang ataupun atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit hawar,” katanya.

Berkongsi mengenai taraf ekonomi bagi kaum Semai, Kalam berkata mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri.

“Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka. Mereka mengamalkan sistem bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi di mana tidak ada urusan jual beli dilakukan,” ujarnya sistem ekonomi cara ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di samping mewujudkan kemesraan dalam kalangan mereka.

Tambahnya, memburu dan menangkap ikan juga merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan kaum ini dan kebiasaannya dilakukan oleh lelaki sahaja.

“Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain.

“Ikan adalah sumber utama protein dan ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang, jaring, tuar dan juga dengan tangan,” jelasnya.

Kalam berkata masih terdapat beberapa adat dan tradisi suku Semai yang masih diamalkan sehingga hari ini meskipun diledak dengan arus kemodenan antaranya menganyam tempok yang sering menjadi perhiasan bagi kaum wanita selain memasak di dalam buluh serta menyumpit.

“Justeru itu, menerusi program di bawah Jungle School Gombak Malaysia kita akan beri peluang kepada peserta untuk turut merasai melakukan ketiga-tiga aktiviti tersebut supaya mereka mempelajari mengenai adat dan tradisi orang asal ini.

“Orang Asli juga akan menjual hasil kraf untuk menjana pendapatan. Walau bagaimanapun keadaan ini mungkin telah berubah mengikut peredaran masa di mana kini ramai kaum Semai yang bekerja dengan kerajaan, swasta dan berniaga seperti di kedai runcit dan kraf tangan.

Bercakap soal perubatan pula, Kalam berkata daripada segi perubatan, masyarakat Semai mengamalkan cara berubat sendiri apabila seseorang daripada mereka sakit sama ada menggunakan akar dan daun-daun kayu atau bomoh.

“Jenis-jenis herba yang digunakan adalah berdasarkan jenis penyakit yang dihidapi antaranya slak selendon dan slak mandi alam yang dihancurkan atau ditumbuk kemudian diletakkan di tempat yang luka dan dibalut,” katanya.

Selain suku Semai pelbagai lagi suku lain yang hidup aman damai dalam kelompok masik-masing antaranya Mendriq, Lanoh, Kensiu, Bateq, Kintaq, Orang Kanaq, Orang Seletar, Temuan, Semelai, Orang Laut, Jahai, Jakun, Jah Hut, Temiar, Mah Meri, Che Wong dan Semoq Beri. – WILAYAHKU

Foto: SYUQQREE DAIN, Video: HASIF HALIMI

Gambar:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas