Berita

Banjir: Shahidan rentasi sempadan

SHAHIDAN (dua dari kanan) mendengar keluhan Dalib Ahmad (tengah) yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan. SHAHIDAN (dua dari kanan) mendengar keluhan Dalib Ahmad (tengah) yang
- Diterbit 7 Januari 2022 4:07 AM MYT

NASIB mangsa banjir genang di Alor Gajah, Melaka dan Segamat, Johor terus mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim apabila dua pasukan digerakkan bagi membantu kerja-kerja menyelamat serta pembersihan di kawasan terjejas banjir.

Meskipun ia berlaku di luar kawasan pentadbirannya, keprihatinan yang ditunjukkan warga Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensinya disambut penuh kesyukuran mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

MUHAMMAD JAILANI

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kesudian pihak KWP dan agensi membantu penduduk yang terjejas jelas menunjukkan sikap proaktif dan prihatin terhadap keadaan mangsa yang terlibat.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim kerana beliau telah memainkan peranannya sebagai menteri dan mengerahkan agensi di bawah kementeriannya untuk membantu dalam operasi menyelamat dan membersihkan kawasan yang terlibat.

“Tindakan ini amat dihargai kerana dapat membantu meringankan beban mangsa. Tiada ukuran dan penghargaan yang boleh dibuat atas pengorbanan semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir kerana ia melewati sempadan pengorbanan yang mulia,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, kehadiran pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM20,000 untuk mangsa banjir amat dihargai.

“Sumbangan dari YWP kepada 100 keluarga sedikit sebanyak dapat merawat duka meskipun ia tidak dapat menggantikan kehidupan yang telah hilang dan saya mewakili mangsa mengucapkan terima kasih kerana membantu mangsa ketika dalam situasi ini,” ujarnya.

Sementara itu, warga emas, Dalib Ahmad, 73, menyifatkan kehadiran Shahidan serta agensi untuk membantu mangsa sepertinya amat di alu-alukan dan sekali gus menunjukkan tauladan yang baik kepada generasi muda.

“Dalam situasi sukar ini kami amat bersyukur kerana selain sumbangan tunai, difahamkan pihak menteri turut menghulurkan bantuan makanan selain ada pasukan yang membantu membersihkan rumah. Malah beliau sendiri turun padang untuk mendengar masalah dan berjanji untuk melaporkan sendiri kepada Perdana Menteri.

“Dengan sikap yang ditunjukkan ini, pemimpin tempatan mesti mengambil iktibar kerana orang luar pula yang mencari peluang untuk membantu mangsa banjir di sini,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas