Berita

Annuar lancar ATM Beras

- Diterbit 31 Ogos 2021 3:15 PM MYT

PENGASAS RumahPrihatin@GrandSeasons, Tan Sri TPr Annuar Musa melancarkan mesin ATM Beras bagi memudahkan golongan miskin memperolehi bekalan makanan itu.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, projek ATM beras yang pertama seumpamanya di Kuala Lumpur menyifatkan ia sebagai projek perintis untuk memudahkan golongan miskin tanpa melalui birokrasi.

“Secara teknikalnya, ia boleh dilakukan dan kita berharap dapat sumbangan atau penyertaan daripada mana-mana pihak untuk menempatkan ATM Beras di beberapa lokasi dan ia dimulakan di RumahPrihatin.

“Untuk permulaan, kita jangkakan kira-kira satu tan beras akan diagih-agihkan melalui ATM Beras setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas sesi Flag Off konvoi Jejak Prihatin merasmikan operasi ATM Beras di RumahPrihatin di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat untuk memberikan perhatian kepada kesejahteraan kanak-kanak terutama dari keluarga yang berpendapatan rendah dengan memberikan pemainan secara percuma melalui inisiatif terbaharu ToyBankPrihatin.

“Mereka ini daripada keluarga kurang mampu, saya harap mereka dapat disantuni oleh sukarelawan atau persatuan penduduk dan sebagainya.

“Mereka boleh membawa anak-anak itu ke ToyBank@RumahPrihatin untuk mendapatkan toys (alat permainan) ini secara percuma,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas