Berita

Shahidan ikrar bukti pencapaian dalam 100 hari, teruskan dasar sedia ada

SHAHIDAN (kanan) 'clock in' bersama Jalaluddin di Kementerian Wilayah Persekutuan selepas Istiadat Angkat Sumpah hari ini.
SHAHIDAN (kanan) 'clock in' bersama Jalaluddin di Kementerian Wilayah Persekutuan selepas Istiadat Angkat Sumpah hari ini.
- Diterbit 30 Ogos 2021 12:06 PM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berikrar untuk membuktikan pencapaian awal kementerian yang baharu diterajuinya, dalam tempoh 100 hari pertama seperti yang ditegaskan Perdana Menteri baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi tujuan itu, selain akan meneruskan dasar kementerian yang telah dibentuk bekas penyandangnya, Tan Sri Annuar Musa.

“Kami akan buat yang terbaik terutama bila diberi penekanan tentang pencapaian 100 hari dan sebagainya.

“Kita ada perancangan jangka pendek dan panjang. Insya-Allah akan buat yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar.

Terdahulu, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias ‘clock in’ di Kementerian Wilayah Persekutuan pada kira-kira pukul 6 petang tadi.

Kedua mereka turut diberi maklumat awal berhubung pergerakan dan dasar kementerian.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, dasar-dasar sedia ada yang diperkenalkan semasa pentadbiran Annuar akan diteruskannya.

Malah, beliau menegaskan, mereka berada dalam pasukan yang sama dan hanya bertukar kementerian.

“Dasar yang baik akan diteruskan dan tidak ada masalah kerana kami hadir dalam kabinet sebagai satu pasukan.

“Apa yang telah dilaksanakan oleh sahabat (Annuar), saya akan teruskan. Antara kami adalah satu pasukan tetapi setengahnya bertukar kementerian,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas