Selebriti

Ahli keluarga Ira Kazar langgar perintah injuksi, terima notis peguam

|||||||
- Diterbit 9 November 2022 2:15 PM MYT

PELAKON Puteri Sarah Liyana memberitahu salah seorang ahli keluarga Ira Kazar selaku defendan telah melanggar perintah injunksi interim apabila mengeluarkan kenyataan mengaitkan namanya dalam media sosial pada minggu lalu.

Puteri Sarah berkata, pihak peguam sudah melakukan penelitian berhubung kenyataan terbabit yang melibatkan ahli keluarga Ira sebagai defendan.

“SEPATUTNYA pihak sana diperintahkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebut nama saya di media sosial.” – Puteri Sarah Liyana

Jelasnya, peguam yang mewakilinya telah menghantar satu notis komital/penghinaan terhadap perintah injuksi mahkamah bertarikh 4 Julai pada semalam kepada individu tersebut.

“Saya nak maklumkan ada ahli keluarga pihak sana yang telah melanggar perintah injuksi. Jadi, hal berkenaan sudah diserahkan kepada peguam saya.

“Sepatutnya pihak sana diperintahkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebut nama saya di media sosial.

“Pihak peguam dapat kesan ada individu daripada ahli keluarganya yang membuat kenyataan di media sosial dan itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta Body Flasshh bersama Adira di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, isteri kepada pengarah Syamsul Yusof mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh warga maya.

“Jujurnya saya hanya dapat tahu perkara tersebut apabila diberitahu oleh netizen. Ikutkan saya memang tidak mengambil tahu sebab terlalu sibuk dengan kerja.

“Namun netizen sendiri yang maklumkan dan saya terus menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk mendapatkan kepastian adakah melanggar atau sebaliknya.

“Jadi, peguam sudah mengesahkan ia melanggar dan surat daripada pihak peguam saya sudah diserahkan kepada individu tersebut semalam,” ujarnya.

PENGASAS produk Body Flasshh, Azlin (tengah) melantik Puteri Sarah dan Adira sebagai duta produk.

Untuk rekod, Puteri Sarah menerusi peguamnya menyerahkan perintah injuksi interim kepada pihak defendan, 28 Jun lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 24 Jun lalu agar defendan berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di media sosial atau mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

Perintah tersebut juga bagi memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap Puteri Sarah.

Puteri Sarah, 37, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas