Berita

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga William Fidelis

SERI Paduka Baginda menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara. Kredit foto oleh - Laman Facebook Istana Negara Official
- Diterbit 8 Jun 2021 7:41 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga William Fidelis atas pemergian bekas jurulatih pasukan hoki wanita negara itu, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang, khususnya kepada pasukan hoki negara serta menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut kenyataan itu.

Fidelis yang juga bekas pemain hoki Negeri Sembilan pada era 60-an dan 70-an, menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun.

Mendiang merupakan jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan yang berjaya menjulang pingat emas pada temasya Sukan SEA dan gangsa pada kejohanan Piala Inter-Continental, kedua-duanya pada tahun 1983.

Mendiang juga pernah membimbing skuad hoki lelaki Negeri Sembilan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan merupakan individu yang sangat aktif dalam bidang kejurulatihan sejak mula menceburinya pada 1963, sebelum bersara pada 2005. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas