Berita

Agong ingatkan kerajaan bangunkan 13 negeri secara saksama

- Diterbit 22 Mac 2024 8:30 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya memberikan perhatian dan peruntukan yang ada untuk membangunkan 13 negeri lain.

Titah baginda, ia bertujuan agar peruntukan yang ada dapat dibahagikan secara saksama supaya pembangunan yang seimbang dapat dicapai di seluruh negara.

“Ibarat pepatah melayu ada menyebut: hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah”  sekiranya semua negeri dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandaraya akan dapat dikurangkan dan kesesakan jalan raya akan lebih terkawal.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara pada Selasa.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa.

Baginda bertitah setelah hampir dua bulan tinggal di Kuala Lumpur ini, baginda melihat pembangunan ekonomi dan infrastruktur di ibu kota ini adalah sangat pesat berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.

“Pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, telah membuka banyak peluang pekerjaan dan menyebabkan penghijrahan penduduk dari negeri-negeri ke kawasan Wilayah Persekutuan.

“Oleh sebab itu, kerajaan terpaksa membangunkan infrastruktur awam yang lebih cekap untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan memenuhi keperluan penduduk banda raya yang semakin padat.

“Persoalannya, adakah kerana wilayah ini ditadbir secara terus oleh Kerajaan Persekutuan, banyak peruntukan pembangunan ditumpukan kepada tiga Wilayah ini sahaja?” titahnya.

Titah baginda bahawa semua rakyat jelata mengetahui bahawa baginda suka memandu sendiri kereta dan dapat lihat dengan jelas keadaan jalan raya dan kawasan sekitarnya.

“Apa yang saya nampak, masih ada beberapa tempat di Kuala Lumpur ini yang kotor dan tidak diselenggara dengan baik.

“Oleh itu saya menyeru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar sentiasa memantau dan mengambil tindakan untuk meningkatkan tahap kebersihan bandaraya.

“Awak semua ada banyak kakitangan yang lalu-lalang di dalam bandar, mustahil tidak nampak kawasan yang kotor.

“Janganlah tunggu sampai saya tegur. Masyarakat kota juga digesa untuk sama-sama menjaga kebersihan dan alam sekitar. Jangan membuang sampah merata-rata atau menjadikan longkang dan sungai sebagai tempat pembuangan sampah,” titah baginda.

Baginda bertitah, kurang dari dua minggu lagi, akan genaplah dua bulan baginda memegang tampuk Ketua Negara.

“Apabila habis tempoh bulan madu ini, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar.

“Ingin saya tegaskan, yang saya akan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bukan patung untuk disembah, atau dijadikan perhiasan di dalam majlis, atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri,” titah baginda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas