Berita

Afdlin Shauki sasar pendigitalan Wilayahku

DATUK Afdlin Shauki dilantik sebagai Pengerusi YWP Media Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Mei 2023.
- Diterbit 2 Mei 2023 10:00 AM MYT

PENGERUSI baharu YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki berazam untuk mendigitalisasikan akhbar Wilayahku agar lebih dikenali ramai.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Anak Syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan iaitu YWP Media Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Mei 2023 dilihat komited untuk merealisasikan tanggungjawab baharu tersebut.

“Harapan saya adalah untuk mempopularkan lagi akhbar Wilayahku ini serta menaikkan lagi aktiviti-aktiviti yang diadakan di peringkat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan paling utama ialah pendigitalan Wilayahku supaya ia menjadi satu kuasa besar di media sosial, ” kata beliau ketika ditemui di pejabat YWP Media Sdn Bhd di Putrajaya.

Beliau berkata menerusi pemerhatiannya, akhbar Wilayahku mempunyai satu potensi yang besar untuk pergi lebih jauh seperti syarikat media besar yang lain.

Wilayahku mempunyai potensi besar di mana ia boleh menjadi portal untuk berita-berita yang berlaku di Wilayah Persekutuan (WP).

“Di WP terdapat banyak aktiviti yang menarik untuk anak muda serta pihak berkepentingan seperti majlis agama, sesi mengajar dan sebagainya yang boleh diuar-uarkan kepada warga kota,” jelas beliau yang turut mempunyai pengalaman sebagai penasihat di syarikat media.

Dalam pada itu, Afdlin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah memilihnya untuk membawa YWP Media ke satu peringkat yang lebih tinggi.

“Saya sangat bersyukur kerana dipilih untuk membantu berhadapan dengan cabaran dalam memperbaiki serta menaik taraf YWP Media,” kata beliau.

Sebagai rekod Wilayahku merupakan akhbar mingguan terbitan YWP Media Sdn Bhd. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas