Berita

Adu terus kepada KPM jika berlaku kenaikan harga makanan di kantin sekolah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 4 Januari 2024 4:45 PM MYT

SEKIRANYA berlaku kenaikan harga makanan di kantin pada sesi persekolahan akan datang, aduan boleh diajukan secara terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata pihaknya akan meminta sekolah mengambil tindakan sewajarnya terlebih dahulu kerana isu itu adalah antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Beliau berkata pihaknya akan memberi perhatian sewajarnya jika ada aduan yang sampai kepada KPM.

“Setakat ini mungkin berlaku antara pihak sekolah dan kantin, jadi kita minta ia diselesaikan secara baik namun sekiranya ada isu berkaitan dan ia terus berbangkit, bolehlah buat aduan terus kepada kita,” katanya ketika diminta mengulas isu harga makanan di kantin pada sesi persekolahan akan datang.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yeong Chang di Sungai Suloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Mahmood Iskandar di sini hari ini bagi meninjau persiapan sesi persekolahan dan kesiapsiagaan mendepani banjir kerana kedua-dua sekolah adalah antara yang terkesan akibat bencana itu sebelum ini.

Beliau juga berkata pihaknya akan berusaha menyatukan pasangan ‘guru jarak jauh’ dengan mempertimbang semua permohonan berdasarkan kepentingan pendidikan dan melaksanakan perkara itu mengikut prosedur serta proses sedia ada.

“Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran ialah suami isteri yang terpisah secara jauh,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas