Berita

Abdul Aziz Jusoh dilantik Ketua Pengarah JAKIM yang baharu

- Diterbit 15 Januari 2021 1:59 AM MYT

DATUK Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Muhamad Al-Bakri berkata, pelantikan dengan Gred Utama A itu bagi mengisi jawatan yang dikosongkan selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia pada 8 Oktober yang lalu.

“Abdul Aziz dipilih berdasarkan pengalaman luas selama 34 tahun berkhidmat di JAKIM dan mempunyai integriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang.

“Beliau menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan amat disenangi rakan strategik utama JAKIM dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga warga JAKIM.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada tahun 2003,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, antara jawatan penting yang pernah disandang Abdul Aziz adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 hingga 2020, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (2017 – 2018), Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak (2013 – 2017 dan Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia (2009 – 2013).

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin beliau mampu menerajui JAKIM sebagai Agensi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.

“Ini bagi menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14.

“Baginda mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat,” katanya.

Tambahnya, beliau mewakili pihak Kerajaan berharap agar pelantikan Ketua Pengarah yang baharu ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi Hal Ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam pada itu, Zulkifli yang mewakili pihak kerajaan turut menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas