KUALA LUMPUR-Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melancarkan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) pada 21 Februari ini di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
MITI dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, NAP2020 dirangka untuk meningkatkan daya saing industri automotif Malaysia ke fasa seterusnya, selaras dengan landskap perubahan dalam pasaran global.
Katanya, kerajaan juga telah mempertimbangkan semua maklum balas yang diterima daripada industri serta peluang penambahbaikan yang dipelajari daripada Dasar Automotif Nasional sebelum ini.
“Bagi memastikan penyertaan positif berterusan dalam industri ini, kerajaan menekankan aspek sumber untuk menentukan aliran pemecutan teknologi seterusnya akan seiring dengan aliran pesat pengangkutan dan mobiliti, di samping membolehkan penerimagunaan teknologi tenaga bersih,” katanya.
MITI berkata, kerajaan menumpukan jalinan strategik pembangunan dengan peserta industri ke arah meningkatkan pembangunan dan kapasiti tenaga kerja tempatan.– WILAYAHKU