Berita

Ungguli dua perlumbaan LTdL 2020, isteri sifatkan kemenangan Harrif Saleh rezeki anak

Harrif dan Nursyahira bergambar bersama anak mereka, Muhammad Harraz selepas tamat satu perlumbaan. ?
- Diterbit 13 Februari 2020 3:18 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mengungguli dua peringkat dalam edisi ke-25 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 disifatkan sebagai rezeki buat anak-anak.

Isterinya, Nursyahira Nordin turut mendedahkan Harrif pernah menyatakan hasrat untuk memenangi peringkat perlumbaan LTdL 2020 memandangkan dia pernah mengungguli saingan Peringkat 2 (Senawang, Negeri Sembilan ke Dataran Pahlawan, Melaka sejauh 200.6 kilometer) pada LTDL tahun lalu.

“Alhamdulillah kemenangan dua peringkat LTdL 2020 (Peringkat 5 dan 7) adalah rezeki untuk anak-anak.

“Sebagai isteri dan penyokong, saya harap dia akan terus berjaya dalam perlumbaan lain selepas ini,” kata Nursyahira kepada Wilayahku hari ini.

Pelumba TSG itu melakar dua kemenangan dalam perlumbaan berbasikal LTdL 2020 iaitu Peringkat 7 sejauh 130.4 kilometer (km) dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah dengan catatan masa dua jam 53 minit 18 saat, hari ini (Khamis).

Harrif, 31, juga cemerlang apabila menakluk perlumbaan pada Peringkat 5 iaitu dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Ipoh, Perak sejauh 165.8km, Selasa lalu.

Dalam pada itu, selepas menjuarai perlumbaan Peringkat 5, Harrif memuat naik gambar berserta kapsyen ‘menyentuh hati’ dalam laman Instagramnya, harrif_saleh, pada Rabu.

Menerusi gambar bersama anak sulung, Muhammad Ariq Dzakwan berusia lima tahun, Harrif menyatakan bahawa rakyat Malaysia juga mampu bersaing bersama pasukan bertaraf dunia.

“Papa menang@adeq_ayeip … best moment kelmarin.. ramai org kate tahun lepas xdok pro tour team boleh lah menang.. alhamdulillah papa bukti kan buat rakyat malaysia papa mampu bersaing jugak dgn pro2 lain..

“Papa akui papa ni cap ayam je, sama2 doakan saya dan team untuk next stage seterusnya Insha- Allah,” tulis Harrif yang kini memiliki dua cahaya mata iaitu Ariq, 5, dan Muhammad Harraz Danial, 4 bulan. – WILAYAHKU

HARRIF memuatkan gambarnya bersama Ariq selepas memenangi perlumbaan Peringkat 5 LTdL.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas