Berita

965 kes dalam tempoh 7 bulan

JPJ WP Labuan melakukan operasi sekatan jalan raya bagi memastikan warga Labuan mematuhi undang-undang.
JPJ WP Labuan melakukan operasi sekatan jalan raya bagi memastikan warga Labuan mematuhi undang-undang.
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:55 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

Labuan – Tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan pelbagai kesalahan teknikal.

Berikut antara kesalahan paling tinggi yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Labuan (JPJ WP Labuan).

Malah dari Januari hingga Julai tahun ini, ketiga-tiga kesalahan itu mencatatkan 864 kes daripada 1,048 kesalahan yang direkodkan.

Bagi keseluruhan tahun sebelumnya pula, 945 kes dicatatkan daripada 1,181 kesalahan.

Sehubungan itu Pengarah JPJ WP Labuan, Mohammad Afdhal Mohd. Ruslan menegaskan, pihaknya akan sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan bagi memastikan statistik kesalahan tersebut berjaya merekodkan penurunan.

Jelas beliau, ia juga bertujuan untuk mendidik dan menggalakkan warga Labuan mematuhi peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di wilayah berkenaan.

“Daripada rekod itu, kita juga mendapati kesalahan-kesalahan teknikal sering berlaku. Antara ke­salahan tersebut adalah no pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Selain itu, kesalahan seperti membawa muatan bahaya juga dikenal pasti di Labuan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Mohammad Afdhal, pihaknya menyasar­kan kadar kesalahan tersebut dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Justeru, katanya, pelbagai aktiviti dilakukan bagi mendidik masyarakat setempat antaranya, kempen keselamatan jalan raya serta memperkasakan kokurikulum kadet JPJ di sekolah-sekolah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas