Berita

Saifuddin bangkit daripada kegagalan

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:48 AM MYT

JATUH bangun dalam perniagaan sudah menjadi asam garam dalam kehidupan sesorang usahawan. Bagi Saifuddin Mohd Nor, 42, berniaga merupakan satu cabaran yang mendewasakannya kerana perlu berhadapan dengan pelbagai perkara yang sukar dalam kehidupan.

“Mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan merupakan satu keputusan besar kerana sudah pasti akan berhadapan dengan kesukaran untuk bermewah-mewahan.

“Kehidupan bekerja sudah pasti berbeza kerana setiap bulan sudah pasti gaji telah dimasukkan ke dalam akaun tetapi berniaga sendiri tidaklah seperti itu,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Saifuddin berkata, dia nekad untuk berniaga sendiri kerana inginkan cabaran dalam kehidupan.

“Sewaktu bekerja dahulu, saya melakukan rutin harian yang sama untuk bertahun-tahun lamanya sehingga sampai ke satu tahap rasa bosan.

‘’Kerana mahukan cabaran, saya meletakkan jawatan di sebuah syarikat multinasional setelah berkhidmat selama 16 tahun untuk memulakan perniagaan atas talian melalui sistem ‘dropship,’’ katanya.

Menurut Saifuddin lagi, ketika bermula dengan sistem dropship, pendapatan yang diterima agak lumayan dan dia mula merancang untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saya mula berjinak-jinak dengan menjadi pengasas produk. Namun kerana kekurangan ilmu pengurusan perniagaan dan pemasaran menyebabkan perancangan tidak menjadi.

“Oleh kerana saya sudah meletakkan segala-galanya di dalam dunia perniagaan, saya rugi dan pernah hampir berputus asa,’’ katanya.

Tambahnya lagi, gagal sebanyak lima kali dalam perniagaan berasaskan produk tidak mematahkan semangatnya kerana keluarga sentiasa memberi semangat kepadanya untuk terus berusaha.

Kata Saifuddin lagi, setelah gagal di dalam perniagaan produk, dia berjinak-jinak pula dalam membantu usahawan-usahawan baharu dengan mengajar ilmu pemasaran pada tahun 2014 hingga 2016.

“Saya pernah mengajar ilmu pemasaran kepada lebih 2,000 pelajar yang terdiri daripada usahawan baharu dan usahawan sedia ada.

“Saya melihat ramai usahawan masih mencari ilmu pemasaran menggunakan medium online, jadi dari sini saya bersama seorang rakan menubuhkan sebuah syarikat perunding perniagaan dan pemasaran yang memberi perundingan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta korporat,” katanya.

Jelas Saifuddin, melalui pengalaman yang telah diraih, syarikatnya sudah berkhidmat kepada lebih 120 perniagaan SME dan restoran untuk menggunakan medium online.

Katanya, pada tahun ini, syarikatnya telah dilantik sebagai rakan niaga sebuah platform e-dagang, Shopee yang berpangkalan di Singapura.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Teknologi Malaysia ini berkata, pengalaman menguruskan perniagaan dari kosong banyak memberikan pengajaran yang berguna untuknya.

“Mula membangunkan perniagaan daripada seorang diri, kini saya sudah mampu mengambil sembilan orang kakitangan. Saya berazam untuk kembangkan lagi pasukan ini untuk menjadi lebih besar supaya mampu menembusi perkhidmatan ini ke syarikat-syarikat lebih besar,“ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas