Berita

PPj, MP Sepang kerjasama selesai isu setempat

KERATAN Wilayahku 16-22 Ogos 2019.
KERATAN Wilayahku 16-22 Ogos 2019.
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) bagi membentuk satu jawatankuasa penyelarasan khusus untuk menyelesaikan isu-isu setempat termasuk persempadanan kawasan.

Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pembentukan jawatankuasa tersebut akan diusul dalam dialog dua hala yang dijadualkan bulan hadapan.

Jelas beliau, langkah itu juga sejajar dengan keadaan semasa yang memerlukan persefahaman antara kedua-dua pihak berikutan kadang-kadang pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terlepas pandang kawasan ‘jajahan’ terutama di sekitar persempadanan

“Ada banyak isu seperti jalan gelap. Oleh itu, perlu ada persefahaman kerana kadang-kadang bukan mereka tidak menjaga tetapi tidak nampak jadi apabila kita perasan, kita kena maklumkan dan perkara itu boleh buat kerjasama.

“Kita sudah berjiran, jadi akan adakan pertemuan dua hala dengan mereka bagi membincangkan isu-isu yang serupa contohnya haiwan liar berkeliaran, isu sampah, lampu tidak terang, kawasan-kawasan yang tidak diselenggara seperti rumput tidak dipotong atau jalan berlubang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Wilayahku baru-baru ini berhubung laluan di Lingkaran Putrajaya yang gelap dan membahayakan pengguna jalan raya.

Mengulas tentang isu berkenaan, jelas Aminuddin, walaupun lokasi terbabit di Putrajaya namun apabila melihat dengan teliti persempadanannya, ia di bawah kawasan MP Sepang dan jalan itu diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambah beliau, pihaknya akan melaporkan kepada PBT terbabit berhubung keadaan semasa laluan berkenaan supaya tindakan dapat diambil sekali gus mengelakkan kemalangan maut berlaku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas