Utama

709 reruai meriahkan PBAKL 2022 3-12 Jun di WTC

PERSIAPAN sedang giat dijalankan menjelang PBAKL 2022. PERSIAPAN sedang giat dijalankan menjelang PBAKL 2022.
- Diterbit 3 Jun 2022 9:00 AM MYT

KEHANGATAN Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur kian dirasai termasuk pempamer yang sudah hampir 80 peratus bersedia sebelum pesta tersebut berlangsung.

MOHD KHAIR

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron memaklumkan, persiapan sedang giat dilakukan oleh pempamer dan urus setia terlibat.

“Buat masa ini, persiapan sedang dilakukan terutama persiapan reruai dan proses kemasukan buku oleh penerbit serta barang-barang untuk hiasan gerai masing-masing.

“Meskipun pada hari Khamis lalu berlangsungnya konvensyen BN di sini, tetapi ia tidak menjejaskan sedikit pun proses kemasukan barang dan buku seperti yang telah dirancang.

“Hanya ada satu dewan sahaja yang terlibat. Jadi, dewan yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa tambahan kita juga mempunyai jadual kemasukan barang pada pukul 12 tengah hari hingga 10 malam,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Dalam pada itu, Mohd Khair berkata terdapat peningkatan reruai iaitu tambahan sebanyak 709 lagi dibuka bagi memeriahkan pesta buku pada 3 Jun hingga 12 Jun ini.

“Sebelum ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) mencatatkan jumlah sebanyak 580 reruai tetapi ia telah meningkat ekoran penyertaan dan sokongan menggalakkan daripada barisan pempamer, penerbit buku serta penulis.

“Daripada jumlah tersebut juga kita pecahkan kepada beberapa tempat antaranya 260 reruai di Dewan Tun Razak 3, 160 di Dewan Tun Razak 4, 43 di Dewan Tun Dr Ismail, 44 di Dewan Mawar, 34 di Dewan Tun Hussein Onn dan beberapa jumlah lain yang telah dibahagikan di setiap kawasan dalam WTC ini,” katanya.

Tambahnya, pempamer juga mempunyai susun atur acara menarik buat pengunjung yang hadir selain mempromosikan koleksi koleksi karya penulisan mereka yang terdiri daripada pelbagai genre.

“Bukan itu sahaja, aktiviti menarik lain adalah ‘meet-and-greet’ yang mana majoritinya akan membawa personaliti, pengkarya hebat termasuk artis serta pelbagai lagi keterujaan yang berlangsung di pentas utama.

“Menarik lagi, selepas 38 kali penganjuran, Pesta Buku kali ini akan dirasmikan buat pertama kalinya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pentas utama, legar Putra, WTC, Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambahnya, selain itu, bersempena ulang tahun ke-50 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Buku 50 tahun DBKL akan dirasmikan dan dilancarkan pada pesta tersebut.

Buku pengumpulan kisah dan gambar-gambar 50 tahun pembangunan Kuala Lumpur ini adalah hasil terbitan Akhbar Wilayahku buat semua warga kota. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas