Berita

557 daripada 1,065 mukim capai kategori menua – DOSM

KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. Gambar - THE STAR
- Diterbit 26 Februari 2024 3:20 PM MYT

TERDAPAT 557 daripada 1,065 mukim telah mencapai kategori menua dengan lebih daripada tujuh peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, menurut statistik Banci Malaysia 2020: Mukim, Bandar dan Pekan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 260 bandar, 155 telah mencapai kategori menua manakala bagi pekan, sebanyak 50 peratus telah mencapai kategori berkenaan.

“Jumlah penduduk tertinggi bagi umur 0-14 tahun ialah Mukim Ayer Molek, Melaka (73.4 peratus), manakala 15-64 tahun ialah Mukim Pulau Babi, Johor (96.2 peratus).

“Mukim Kerling, Selangor mencatatkan penduduk tertinggi bagi umur 65 tahun dan lebih dengan 25.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdapat 1,730 mukim, bandar dan pekan di Semenanjung Malaysia yang merangkumi 13 negeri seperti dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara (Disemak – 2020) (Akta 828).

Daripada jumlah berkenaan, 1,065 ialah mukim, bandar (260) dan pekan (405). Bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sempadan statistik adalah berdasarkan pewartaan pusat pentadbiran negeri dan Banci Malaysia dengan persempadanan data statistik adalah berdasarkan peringkat negeri, bahagian dan daerah/daerah kecil (tanpa mukim, bandar dan pekan).

Mohd Uzir berkata penduduk di mukim di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 15.3 juta pada 2010 kepada 18.6 juta pada 2020, penduduk bandar meningkatkan kepada 5.9 juta pada 2020 (2010: 5.0 juta) manakala pekan merekodkan 2.0 juta pada 2020 (2010: 1.6 juta).

Bagi bilangan tempat kediaman, katanya mukim berjumlah 5.6 juta, bandar (1.9 juta) dan pekan dengan 0.6 juta pada 2020.

Mukim Hulu Kinta, Perak merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi bagi mukim iaitu 0.2 juta, manakala bagi bandar, Bandar Ampang, Selangor merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi (0.1 juta) dan Pekan Baru Sungai Buloh, Selangor mencatatkan bilangan tempat kediaman tertinggi bagi pekan (40,000).

Mukim Pulai, Johor pula merekodkan bilangan tempat kediaman kosong tertinggi iaitu 50,000. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas