Berita

31,600 jemaah terima surat tawaran haji hari ini

- Diterbit 19 Januari 2024 4:19 PM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) memaklumkan surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1445H/2024 akan dikeluarkan bermula hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata tawaran tersebut melibatkan 40 peratus jemaah haji kumpulan B40, 58 peratus daripada kumpulan M40 serta dua peratus jemaah haji kumpulan T20.

“Kesemua bakal jemaah perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum
menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

“Pada masa sama, bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah perlu membayar penuh kos haji melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya yang telah terpilih menunaikan haji, ” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media pengumuman Surat Tawaran dan Bayaran Haji 2024 di Menara Tabung Haji hari ini.

Sementara itu, menurut Syed Hamadah, TH akan meneruskan bantuan kewangan haji bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadah haji.

Tambah beliau, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H tahun ini meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lepas.

“Sehubungan itu, kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan ibadah haji ditetapkan pada RM12,356 seorang.

“Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40 di mana kerajaan akan menanggung sebanyak rm1, 000 seorang.

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji, ” jelasnya.

Syed Hamadah berkata Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang.

“Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji,” katanya.

Tambahnya, bagi kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas