Berita

SARA 2024 peruntuk RM700 juta, manfaat lebih 700,000 penerima

PENAMBAHBAIKAN SARA 2024 bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Januari 2024 4:17 PM MYT

PROGRAM Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menambah baik program tersebut sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup kini.

“Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas. Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.

“Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Januari 2024 (Isnin) bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula 19 Februari 2024? (Isnin),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya bantuan subsidi yang disasarkan itu disalurkan kepada penerima yang layak terdiri daripada golongan lemah.

“Penambahbaikan termasuklah memperluas penerima yang layak termasuk golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.

“Selain itu, kadar bantuan untuk isi rumah SARA dinaikkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023 manakala, kadar untuk golongan bujang kekal pada RM600,” ujarnya.

Mengambil kira maklum balas penerima, Anwar berkata penggunaan kredit Program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Jelasnya kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi Kerajaan.

“Bagi penerima Program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Febman 2024 (Isnin) dan 12 Ogos 2024 (Isnin) melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh disemak mulai 4 petang, 19 Januari 2024 di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunaihasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui pautan https://www.mykasih.com.my mulai 22 Januari 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas